Skip to main content

Malaysia

Mangsa banjir di Selangor meningkat, Perak menurun dan Sabah tidak berubah

Daerah Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 785 orang. - Foto fail/BERNAMA
Daerah Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 785 orang. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor meningkat setakat pagi ini, berbanding di Perak yang mencatatkan penurunan manakala di Sabah tidak berubah.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS negeri itu meningkat kepada 1,456 orang daripada 414 keluarga, berbanding 958 orang daripada 281 keluarga semalam.

InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan daerah Kuala Langat mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 785 orang yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang dan 16 mangsa di PPS Balai Raya Kampung Sungai Kelambu.

Advertisement

Di Kuala Selangor, PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Pasangan menempatkan 214 mangsa, SK Dato’ Maharaja Lela (166 orang) dan Sekolah Agama Batu 8 Ijok (69 orang) manakala di Sepang sebanyak 122 mangsa berlindung di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan Orang Ramai Dengkil (51 orang) dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (33 orang).

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di tiga PPS di tiga daerah menurun kepada 209 orang daripada 62 keluarga pagi ini, berbanding 211 orang daripada 63 keluarga semalam.

Advertisement

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), mangsa banjir di PPS Sekolah Rendah Agama Rakyat Padang Serai di daerah Manjung kekal 127 orang daripada 37 keluarga.

PPS Dewan Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan di Hilir Perak pula berkurang kepada 72 orang daripada 21 keluarga manakala di Larut, Matang dan Selama kekal 10 orang daripada empat keluarga yang masih berlindung di PPS SK Batu Hampar.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan paras air di Sungai Kurau di Kolam Air Bukit Merah dalam daerah Kerian berada pada tahap bahaya dengan bacaan 9.25 meter (m), berbanding paras normal 8.68 m.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan ribut petir pada sebelah petang di kesemua daerah di Perak.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir di daerah Sook kekal sebanyak 153 orang daripada 42 keluarga pagi ini, sama seperti semalam.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan penduduk dari tiga kampung yang terjejas banjir itu berlindung di PPS Dewan Serbaguna SLDB, Kampung Dalit Gana.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement