BANGKOK:Thailand merekodkan 110 kes baharu termasuk 64 kes jangkitan tempatan yang dikaitkan dengan pasar makanan laut dan sifar kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan keseluruhan kes di negara itu sebanyak 6,020 kes dengan 60 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), Thaweesilp Wissanuyothin berkata daripada 110 kes itu, 30 melibatkan pekerja asing melalui pengesanan kes aktif di Samut Sakhon manakala 16 adalah kes import.

"Setakat ini, terdapat 1,338 pekerja migran diuji positif COVID-19 dan kebanyakan mereka asimptomatik atau tidak menunjukkan sebarang gejala," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Thaweesilp berkata wabak terbaru yang dikaitkan dengan pasar makanan laut di wilayah barat daya Samut Sakhon itu telah merebak ke 33 wilayah di Thailand.

Beliau berkata pihak berkuasa kesihatan awam sedang mempertingkatkan pengesanan kes aktif untuk membendung penularan virus maut itu.

Kes indeks di pasar makanan laut itu dipercayai penjual udang berusia 67 tahun yang diuji positif COVID-19 minggu lepas. Kerajaan Thailand segera menguatkuasakan sekatan pergerakan dan perintah berkurung di Samut Sakhon sehingga 3 Jan.

Untuk menghentikan penularan COVID-19 di negara berkenaan, kerajaan mengumumkan lapan langkah pencegahan tambahan di bawah dekri darurat termasuk pengharaman perhimpunan besar-besaran, pergerakan terhad pekerja migran dan orang awam dilarang memasuki kawasan berisiko tinggi COVID-19.

Pengumuman itu yang diterbitkan dalam Royal Gazette, berkata gabenor wilayah diberi kuasa untuk menutup kawasan berisiko jangkitan COVID-19 dan semua langkah oleh pentadbiran wilayah mestilah selari dengan arahan yang dikeluarkan perdana menteri dan CCSA.

-- BERNAMA