ZAGREB: Croatia akan mengusir beberapa diplomat Rusia tidak lama lagi, kata Menteri Luarnya Gordan Grlic Radman di luar sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Brussels pada Khamis, lapor agensi berita Croatia, HINA.

"Kami akan melakukannya tidak lama lagi, dan kami sedang mempertimbangkan sejauh mana ia akan dilakukan," katanya.

Beliau berkata tindakan itu adalah tanda solidariti terhadap operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine.

"Isu ini mengenai peraturan dunia, prinsip yang telah dilanggar Rusia. Seseorang tidak boleh membunuh orang awam tanpa dikenakan hukuman. Kita perlu bangkit mempertahankan diri, bersuara dan menggunakan segala cara yang ada bagi menghentikan serangan ini," kata Radman.

Pada awal minggu ini, negara-negara Kesatuan Eropah dan NATO, termasuk Jerman, Perancis, Sepanyol serta Itali, memutuskan untuk mengusir diplomat Rusia susulan laporan mengenai penemuan kubur besar dan pembunuhan orang awam di bandar Bucha, Ukraine, selepas pengunduran tenteranya baru-baru ini.

-- BERNAMA