ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) pada Khamis mengumumkan sekatan baharu yang menyasarkan golongan elit yang mempunyai pengaruh dalam pemerintahan Cuba, sebuah bank milik kerajaan serta empat entiti yang dikaitkan dengan sektor tenaga, logam dan perlombongan negara itu, lapor Anadolu Ajansi.
Jabatan Negara AS memaklumkan, langkah itu adalah sebahagian daripada usaha lebih luas pentadbiran Presiden Donald Trump untuk membendung apa yang disifatkan Washington sebagai penindasan oleh rejim Cuba serta kegiatan yang mengancam keselamatan negara AS dan kestabilan di Hemisfera Barat.
Antara individu yang dikenakan sekatan ialah Fidel Ernesto Castro Calis, cucu bekas Presiden Cuba, Raul Castro.
Jabatan Negara memaklumkan, Castro Calis dikenakan sekatan berdasarkan perintah eksekutif yang ditandatangani Trump pada Mei.
Washington turut mengenakan sekatan terhadap Banco Exterior de Cuba atas peranannya dalam sektor perkhidmatan kewangan Cuba.
Empat lagi entiti dikenakan sekatan kerana terbabit dalam industri sumber asli dan tenaga Cuba, termasuk operasi nikel dan kobalt serta kegiatan perolehan dan komersial berkaitan petroleum.
Di bawah sekatan itu, aset milik individu dan entiti yang disenaraikan dalam bidang kuasa AS akan dibekukan.
Rakyat dan entiti AS turut dilarang menjalankan transaksi yang melibatkan pihak yang dikenakan sekatan kecuali mendapat kebenaran Jabatan Perbendaharaan AS.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio berkata, kerajaan Cuba terus menjadi ancaman serius.
“Rejim komunis Cuba terus menimbulkan ancaman serius dalam pelbagai aspek terhadap keselamatan negara AS serta kestabilan di hemisfera kita,” kata Rubio dalam kenyataan itu.
Beliau menuduh keluarga Castro dan pegawai yang mempunyai kaitan dengan rejim menguasai ekonomi Cuba, sambil berkata, langkah yang diumumkan pada Khamis menyasarkan rangkaian yang menyokong sektor kewangan, perlombongan dan tenaga negara itu.
-- BERNAMA-ANADOLU