Skip to main content

Hiburan

Wah Idris mahu Standing in the Eyes of the World diiktiraf sebagai lagu khas kebangsaan

Wah Idris (kiri), Habsah Hassan (tengah) dan Ella menyertai simposium Standing in the Eyes of the World: Di Sebalik Proses Kreatif, Memori Kolektif dan Makna Sebuah Lagu sempena My Symposium on Practice as Research (MySPAR) 2026. di ASWARA, baru-baru ini. - Gambar ASWARA
Wah Idris (kiri), Habsah Hassan (tengah) dan Ella menyertai simposium Standing in the Eyes of the World: Di Sebalik Proses Kreatif, Memori Kolektif dan Makna Sebuah Lagu sempena My Symposium on Practice as Research (MySPAR) 2026. di ASWARA, baru-baru ini. - Gambar ASWARA
Advertisement

KUALA LUMPUR: Selepas hampir tiga dekad menjadi antara lagu yang dekat dengan jiwa rakyat Malaysia, komposer Datuk Wah Idris ingin melihat Standing in the Eyes of the World diberi pengiktirafan lebih besar sebagai lagu khas kebangsaan.

Wah, 69, berkata, karya yang dipopularkan penyanyi Ella itu mempunyai nilai tersendiri dan wajar diangkat sebagai sebahagian daripada warisan muzik negara dan dimainkan dalam pelbagai acara rasmi serta program kenegaraan.

Katanya, lagu itu wajar diberikan ruang dan pengiktirafan tersendiri sebagai karya yang mampu menyatukan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, selain membawa mesej negara ke pentas antarabangsa.

Advertisement

Sehubungan dengan itu, beliau menyarankan agar perkara tersebut diperhalusi dan dibawa kepada pihak berkaitan untuk pertimbangan serta perbincangan lanjut.

"Kita mesti feel proud that we have one solid neutral song that can bring or leverage rakyat Malaysia ke serata dunia, " katanya pada simposium Standing in the Eyes of the World: Di Sebalik Proses Kreatif, Memori Kolektif dan Makna Sebuah Lagu sempena My Symposium on Practice as Research (MySPAR) 2026. 

Advertisement

Simposium anjuran Pusat Pengajian Pascasiswazah, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) turut dihadiri penyanyi Ella dan penulis lirik Datuk Habsah Hassan

Mengimbas penggubahan lagu itu, beliau berkata, karya berkenaan bermula daripada keinginannya menghasilkan sebuah lagu yang mampu mengangkat nama Malaysia di persada antarabangsa bersempena dengan penganjuran Sukan Komanwel  (SUKOM) 1998.

Wah berkata, beliau mahukan lirik yang bersifat universal dan tidak terikat pada tema sukan semata-mata, sebaliknya mampu menyemarakkan semangat serta keyakinan pendengar.

Gabungan melodi dan lirik berkenaan akhirnya menjadikan lagu itu terus dekat dengan masyarakat, malah penggunaannya berkembang melangkaui konteks temasya sukan yang menjadi titik mula penghasilan karya tersebut. 

Beliau turut melihat perkembangan itu sebagai bukti bahawa Standing in the Eyes of the World mempunyai potensi untuk terus hidup sebagai karya yang dimiliki dan dihargai oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Lagu itu pernah mendapat perhatian Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia yang memilih karya tersebut yang diberikan nafas baharu untuk meraikan sambutan hari kemerdekaan negara berkenaan pada 4 Julai 2020.

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video

Advertisement