AYER KEROH: Barisan Nasional (BN) menjelaskan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar tidak menggunakan premis serta jentera kerajaan untuk tujuan berkempen.
Sebaliknya, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterimanya, Khaidirah atau Dira hadir ke Kompleks Japerun Rim bagi melawat kawasan pengundian pos yang berlangsung semalam.
“Jadi saya mendapat maklumat bahawa semalam ialah hari undian pos. YB Dira datang melawat kawasan mengundi mereka dan tidak ada kena-mengena pun dengan YB Dira (berkempen di situ).
“Saya melihat perkara ini daripada sudut pandang yang berbeza kerana saya difahamkan Dewan Japerun itu merupakan lokasi yang sebelum ini digunakan oleh Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) untuk menyalurkan bantuan kepada masyarakat kaum India,” katanya ketika ditemui media selepas Program Jelajah Tok Rauf di DUN Pengkalan Batu, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri Melaka itu bagaimanapun menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dan memperincikan perkara tersebut.
“Terpulang kepada kebijaksanaan pihak berkuasa untuk menilai keberadaan Dira di kawasan berkenaan,” tambahnya.
Semalam media melaporkan, laporan polis dibuat terhadap Dira atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Siti Aishah Shaik Ismail mendakwa, Dira melakukan perbuatan itu semasa hadir pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali.
Dalam perkembangan lain, Ab Rauf berkata, gerak kerja kempen di seluruh Melaka setakat ini menunjukkan perkembangan yang menggalakkan dan memberangsangkan, khususnya di setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Katanya, berdasarkan pemerhatian di kawasan yang dilawatinya, jentera parti menunjukkan komitmen dalam menggerakkan kempen menjelang hari pengundian pada 14 November ini.
"Mereka tidak sabar-sabar menantikan 14 November ini untuk menterjemahkan bahawa hari berkenaan ialah hari gelombang biru," kata Ab Rauf.