Tengku Rakiah Tengku Muhammad, cucunda kepada Sultan terakhir Pattani, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin Syah mangkat di Bangkok awal pagi Isnin pada usia 96 tahun.

Kemangkatan beliau disahkan sendiri oleh anak lelakinya, Tengku Alee Tengku Abdul Rahman.

Menurutnya, jenazah ibunya akan dibawa pulang ke selatan Thailand dengan pesawat untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pakseng, Yala malam tadi.

Tengku Alee merupakan salah seorang daripada lima anak Allahyarham Tengku Rakiah yang terdiri daripada tiga lelaki, dua perempuan.

Suami beliau, Tengku Abdul Rahman Deng Udom mangkat lebih awal.

Menurut maklumat di internet, Almarhum Tengku Abdul Kadir merupakan anakanda kepada Almarhum Sultan Sulaiman Shariff Alauddin.

Sultan terakhir Pattani itu dilapor dilahirkan pada 1877 dan mangkat di Kota Bharu pada 1933 pada usia 56 tahun. -- Bernama