MIAMI: Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mendakwa bekas Presiden Cuba, Raul Castro dalam langkah yang dilihat sebagai peningkatan tekanan Washington terhadap kerajaan komunis di negara pulau itu.
Pendedahan pertuduhan di Mahkamah Persekutuan Florida menunjukkan Castro didakwa berhubung insiden tahun 1996 melibatkan penembakan jatuh dua pesawat awam yang dikendalikan juruterbang anti-Castro, yang mengorbankan empat individu.
Raul Castro, adik kepada mendiang Fidel Castro yang memimpin revolusi komunis Cuba pada 1959 berdepan pertuduhan membunuh, konspirasi membunuh rakyat Amerika serta memusnahkan pesawat.
Langkah itu mencetuskan spekulasi bahawa Presiden AS, Donald Trump, berhasrat untuk menggulingkan kerajaan Cuba, selepas sebelum ini menggunakan dakwaan domestik sebagai justifikasi tindakan ketenteraan terhadap Venezuela.
Dalam insiden 1996 itu, empat individu terbunuh, sekali gus merosakkan hubungan dua hala AS-Cuba.
Namun, dua dekad kemudian, Raul Castro pernah menyertai usaha perdamaian bersama bekas Presiden AS, Barack Obama.
Bagaimanapun, pendekatan tersebut dibatalkan oleh pentadbiran Trump yang mengambil pendirian lebih tegas terhadap Havana.
Trump juga dilihat berulang kali memberi isyarat bahawa Cuba boleh menjadi sasaran seterusnya selepas Venezuela, malah awal bulan ini menyatakan Washington berupaya “mengambil alih” pulau Caribbean itu dalam tempoh singkat.
Dalam mesej video berbahasa Sepanyol kepada rakyat Cuba, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menuduh kepimpinan di Havana terlibat dalam kecurian, rasuah dan penindasan.
“Presiden Trump menawarkan laluan baharu antara Amerika Syarikat dan sebuah Cuba yang baharu,” katanya.
“Cuba baharu di mana rakyat mempunyai peluang sebenar untuk memilih siapa yang mentadbir negara dan menukar kepimpinan jika gagal menjalankan tugas dengan baik.”
AS sedia buka “bab baharu” hubungan
Tindakan AS terhadap sekutu Cuba, Venezuela, turut memberi kesan besar kepada Havana apabila bekalan minyak percuma dari Caracas terjejas, sekali gus memburukkan krisis ekonomi negara itu.
Rubio berkata, Washington bersedia membuka “bab baharu” dalam hubungan dua hala, namun mendakwa halangan utama ketika ini adalah pihak yang masih menguasai sistem pemerintahan Cuba.
Dalam ucapannya sempena sambutan komuniti Cuba di AS terhadap hari kemerdekaan pulau itu, Rubio turut mengkritik konglomerat tentera Gaesa yang didakwa menguasai sebahagian besar ekonomi Cuba.
Beliau menyifatkan entiti itu sebagai “negara dalam negara” yang mengumpul kekayaan untuk golongan elit, manakala kerajaan pula terus mendesak rakyat membuat pengorbanan dan menindas suara yang menentang.
Sementara itu, empat ahli Kongres AS menyuarakan harapan supaya dakwaan tersebut akhirnya membawa keadilan kepada mangsa.
“Kini kita mempunyai Presiden yang tidak akan lagi memandang sebelah mata,” kata wakil dari Florida, Mario Diaz-Balart.
Ahli Kongres dari New York, Nicole Malliotakis pula menegaskan bahawa rejim komunis telah melakukan kekejaman terhadap rakyatnya, termasuk pembunuhan dan penyeksaan.
“Kami berharap ini menjadi titik perubahan bagi rakyat Cuba,” katanya.
Dalam masa sama, Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel, dalam kenyataan di media sosial menyifatkan tarikh 20 Mei sebagai simbol campur tangan dan pengaruh AS dalam sejarah negaranya. - Agensi