Skip to main content

Malaysia

3R: Polis buka siasatan terhadap Tony Pua, 59 laporan diterima seluruh negara

Shah Alam , 8 Mei 2026. Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar  pada Sidang Media Ketua Polis Selangor Berhubung Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor di Mes Pegawai kanan Polis, IPK Selangor.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan kini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua bagi dirakam keterangan susulan hantaran di media sosial yang didakwa menyentuh isu institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan kes berkenaan kini dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Menurut beliau, sehingga pagi Khamis, sebanyak 59 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung kenyataan dimuat naik oleh Tony menerusi Facebook.

“Setakat pagi tadi, saya dimaklumkan sebanyak 59 laporan polis diterima dan kesemua siasatan dijalankan oleh IPK Selangor.

“Laporan itu dibuat di pelbagai balai polis seluruh negara, bukan hanya di Selangor,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, pada Khamis.

Terdahulu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu supaya hadir ke Dataran Selangor sekurang-kurangnya sekali seminggu untuk membaca Rukun Negara serta memahami kepentingan menghormati institusi diraja.

Susulan titah itu, Tony menerusi satu hantaran di Facebook menyatakan Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa Raja tertakluk kepada fungsi tertentu termasuk berkaitan adat Melayu, Islam serta urusan Perlembagaan seperti pelantikan Menteri Besar dan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Must Watch Video

Advertisement