NEW YORK: Dana amanah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditubuhkan pada 2016 sudah membantu 43,000 mangsa eksploitasi dan penderaan seksual, lapor Xinhua memetik jurucakap PBB.

Jabatan Strategi Pengurusan, Dasar dan Pematuhan PBB telah mengeluarkan laporan tahunan dana amanah itu mengenai bantuan yang diberikan kepada mangsa yang turut meliputi aktiviti pada tahun 2022, kata Stephane Dujarric, ketua jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres.

"Laporan itu menyediakan butiran mengenai enam projek yang dilaksanakan di Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Haiti, Liberia dan Sudan Selatan, dan telah memberi kesan positif kepada kehidupan mangsa," kata Dujarric.

Beliau berkata dana amanah itu telah menerima sumbangan sebanyak US$4.8 juta daripada 24 negara anggota dan wang pembayaran daripada mereka yang dikenal pasti terbabit dalam kes eksploitasi dan penderaan seksual.

"Ini telah membantu membiayai bantuan dan perkhidmatan sokongan kepada mangsa dan kanak-kanak yang dilahirkan akibat eksploitasi dan penderaan seksual.

"Setakat ini, lebih 43,000 mangsa dan anggota masyarakat yang terjejas telah menyertai aktiviti menjana pendapatan atau menerima pelbagai bentuk sokongan," kata Dujarric.

Jurucakap itu berkata pembiayaan tambahan akan membantu mangsa dan anak-anak mereka membina semula kehidupan, memecahkan stigma dan terlibat semula dalam komuniti.

-- BERNAMA