KETUA Pesuruhjaya Agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengaku buat pertama kali dalam sejarah, agensi itu tidak mempunyai dana yang mencukupi.

Kata Philip Lazzarini, pihaknya tidak mampu menanggung perbelanjaan sehingga hujung tahun ini.

“Buat pertama kali dalam sejarah agensi ini, kami tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk menanggung perbelanjaan antara sekarang dan hujung tahun ini.

“Kami berada di hujung tebing, namun saya percaya kami dapat elak daripada jatuh jika solidariti komuniti antarabangsa muncul sekarang,” jelasnya.

Kata Lazzarini, ketika ini operasi diteruskan dengan bantuan dan solidariti komuniti global.

Tambahnya, UNRWA masih ingin meneruskan semua perkhidmatannya dan melindungi kakitangannya.

Jelas beliau, ketika ini sistem kesihatan di Semenanjung Gaza hampir lumpuh susulan peningkatan kes COVID-19.

Menurut data Johns Hopkins University, Palestin kini merekodkan lebih 78,000 kes positif COVID-19.