Skip to main content

Dunia

Dasar Satu China: PM tegas pertahan dasar luar, bukan sokong perang - Penganalisis

81637483928_ProfAzizuddinMohd.jpg
Jelas Dr. Mohd Azizuddin, pendirian Malaysia mengenai Dasar Satu China tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan terhadap sebarang tindakan ketenteraan terhadap Taiwan. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia berhubung isu Taiwan dan China tidak bermaksud negara ini menyokong sebarang tindakan ketenteraan atau peperangan, sebaliknya kekal berpegang kepada dasar luar yang mengutamakan penyelesaian secara aman.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Malaysia sejak dahulu menerima pakai konsep Satu China (One China Policy) dalam dasar luarnya.

Jelasnya, pendirian Malaysia mengenai Dasar Satu China tidak boleh ditafsirkan sebagai sokongan terhadap sebarang tindakan ketenteraan terhadap Taiwan.

“Pengiktirafan terhadap Dasar Satu China ini bukanlah bermaksud Malaysia menyokong tindakan ketenteraan terhadap Taiwan. Dengan dasar luar negara selama ini pun tetap menekankan penyelesaian secara aman.

“Kita tidak mendukung apa-apa tindakan secara kekerasan kepada negara atau wilayah lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kenyataan wartawan Al Jazeera mengenai isu berkenaan, Mohd Azizuddin berpandangan soalan yang dikemukakan bersifat provokatif dan berpotensi mengeruhkan hubungan Malaysia-China.

“Saya rasa wartawan Al Jazeera itu provokatif, dia sengaja hendak ciptakan risiko antara China dengan Malaysia.

“Saya rasa tidak ada, sebab dia tahu kita tidak akan kata kita mengiktiraf Taiwan kerana Taiwan bukan sebuah negara seperti kita mengiktiraf. Kita pun tidak ada hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan,” katanya.

Mengulas isu kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai China dan Taiwan yang didakwa menimbulkan kekeliruan terhadap dasar luar Malaysia, Mohd Azizuddin berkata, pendirian negara sebenarnya jelas dan tidak berubah.

“Ia lebih kepada cuba untuk mengelirukan pandangan Perdana Menteri, lebih kepada untuk mewujudkan keadaan yang tidak senang antara Malaysia dan China berkaitan isu Taiwan.

“Tetapi bagi saya, Malaysia daripada dahulu mengiktiraf Dasar One China itu dan kedaulatan China itu merangkumi Taiwan.

“Urusan kita pula dengan China memang secara terus, kalau ada apa-apa isu kita akan gunakan saluran negara kita sendiri atau ASEAN untuk menyuarakan pandangan kepada kepada China. Jadi saya rasa itu pendekatan hubungan diplomatik yang sihat antara China,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya berlaku tindakan ketenteraan, Malaysia akan menggunakan saluran perbincangan dan diplomatik untuk menggesa supaya konflik ditamatkan.

“Kalau China hendak ambil keputusan untuk buat itu, yang mana sekarang pun China tidak buat begitu. Dia bersabar. Tapi kalau China buat, itu hak dia, tetapi kita akan gunakan saluran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengkritik China supaya perang itu ditamatkan.

“Sekarang ini macam perang dekat Iran. Kita guna platform-platform multilateral peringkat antarabangsa untuk menyatakan pandangan kita mengenai apa yang berlaku dalam perang itu supaya mereka balik semula dan sebagainya,” tegasnya.

Beliau berkata, pendirian Malaysia terhadap Taiwan perlu dilihat dalam konteks Dasar Satu China yang diamalkan negara sejak sekian lama, selain hubungan diplomatik Malaysia-China yang berlangsung secara langsung.

“Kalau tanya pemimpin lain dunia, mungkin akan cakap konsep yang sama, konsep One China yang diterima pakai kerana Taiwan ini sebenarnya sampai hari ini tidak diisytiharkan sebagai sebuah negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebarang isu membabitkan hubungan Malaysia dan China perlu ditangani melalui saluran diplomatik, termasuk isu di Laut China Selatan.

“Kalau ada apa-apa isu, kita akan gunakan saluran diplomatik negara kita sendiri ataupun menggunakan ASEAN untuk dorongkan pandangan kepada China.

“Kalau ada perkara itu berlaku, kita akan tegur China dengan baik. China sekarang ini responsif, cara responsifnya agak baik, tidak konfrontasional tetapi agak baik dengan apa yang berlaku,” katanya.

Menurutnya, Malaysia juga perlu mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan hubungan dengan China kerana konflik di rantau ini berpotensi menjejaskan ekonomi negara.

“Barat memang cuba provokatif untuk wujudkan konflik itu sebab target mereka sebenarnya hendak melemahkan China. Tetapi China makin kuat, makin kuat.

“Kadang-kadang untuk kita pun akan terjejas kerana ia akan menjejaskan ekonomi,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement