KUALA LUMPUR: Situasi jerebu di seluruh negara menunjukkan sedikit peningkatan apabila jumlah kawasan mencatatkan kualiti udara tidak sihat berkurangan kepada 24 setakat jam 7 malam ini, berbanding 25 kawasan sejam sebelumnya.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johan Setia di Selangor merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi negara pada paras 171, manakala Batu Muda di Kuala Lumpur turun dua mata kepada 169.
Shah Alam dan Bukit Rambai masing-masing mencatatkan bacaan 168, diikuti Cheras dan Petaling Jaya (166), Klang (165), Nilai (164), Putrajaya (163) serta Banting (162).
Perubahan paling ketara direkodkan di Perak apabila Tanjung Malim keluar daripada kategori tidak sihat selepas bacaan IPU turun sembilan mata kepada 97. Pegoh Ipoh pula mencatatkan penurunan 28 mata kepada 109, manakala Tasek Ipoh kekal pada bacaan 153.
Di Negeri Sembilan, Seremban turun kepada 158, Nilai mencatatkan 164 dan Port Dickson kekal pada 155.
Di Melaka, Bukit Rambai kekal pada 168, manakala Bandaraya Melaka meningkat satu mata kepada 158 dan Alor Gajah kekal pada 157.
Di Johor, Pasir Gudang merekodkan bacaan 156, Batu Pahat dan Kota Tinggi masing-masing 155, manakala Pengerang 154. Kluang dan Tangkak pula mencatatkan bacaan 153.
Paka di Terengganu kekal sebagai satu-satunya kawasan tidak sihat di Pantai Timur dengan bacaan 154, sementara semua stesen pemantauan di Pahang berada dalam kategori sederhana.
Di Sabah dan Sarawak, semua stesen pemantauan terus berada dalam kategori sederhana atau baik.
Sementara itu, bilangan kawasan dalam kategori baik (IPU 0 hingga 50) meningkat kepada sembilan, termasuk Alor Setar yang mencatat bacaan 50. Kimanis di Sabah kekal sebagai lokasi dengan kualiti udara terbaik pada bacaan 29, diikuti Langkawi (32), Miri dan ILP Miri (41), Limbang (42), Politeknik Kota Kinabalu (44), Kota Kinabalu (45) serta Balik Pulau (48).