DEBAT Presiden Amerika Syarikat kedua yang dijadualkan berlangsung pada 15 Oktober antara Presiden Donald Trump dan lawannya daripada Parti Demokrat, Joe Biden dibatalkan dan kini digantikan dengan sesi “town hall” atau balai rakyat di televisyen.

Sesi menerusi televisyen tersebut dilaksanakan setelah Trump menolak cadangan Suruhanjaya Debat Presiden (CPD) untuk berdebat secara maya, susulan beliau disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 2 Oktober lalu.

“Saya tidak akan membuang masa untuk berdebat dalam perbahasan secara maya,” kata Trump.

Trump akan menyertai sesi yang berlangsung di Miami menerusi saluran NBC News, MSNBC dan CNBC pada petang Khamis (waktu tempatan).

Wartawan NBC Hoda Kotb pada Rabu berkata acara tersebut diadakan di luar, selari dengan garis panduan dan piawaian yang ditetapkan pegawai kesihatan dan kerajaan.

Pegarah Kesihatan Klinikal Institut Kebangsaan Amerika Clifford Lane dalam satu kenyataan kepada NBC News menyebut, beliau “mempunyai keyakinan yang tinggi” bahawa Trump “tidak akan menyebarkan jangkitan virus COVID-19”.

Acara tersebut akan dihoskan Savannah Guthrie, yang akan berada dalam jarak 12 kaki (3.65 meter) jauhnya daripada Trump.

Para peserta yang hadir juga diwajibkan untuk memakai pelitup muka.

Sementara itu, acara Biden pula akan mengambil tempat di Philadelphia dan akan disiarkan di saluran ABC.

Kedua-dua acara dijadualkan bermula pada jam 8 malam waktu tempatan.

Format balai rakyat tersebut melanggar tradisi pada setiap pilihan raya Presiden sejak 1975 yang mana tiga siri program berkenaan berlangsung pada penghujung kempen.

Untuk rekod, tarikh bagi debat terakhir pula ditetapkan pada 22 Oktober di Nashville, Tennessee.

Setakat Khamis (15 Oktober 2020), Amerika Syarikat merekodkan 7,916,099 kes positif COVID-19 dan 216,872 kes korban.