Di kala dunia menghadapi pandemik COVID-19, penjarakan sosial menjadi suatu perlakuan penting yang perlu dititikberatkan sehingga menjadi sebahagian daripada normal baharu.

Penularan virus pembunuh itu memaksa orang ramai menjarakkan diri dengan individu disayangi, sama ada sahabat handai mahupun ahli keluarga sendiri, terutamanya warga tua kerana mereka merupakan golongan paling berisiko.

Di pekan Stratford-upon-Avon, England, kisah seorang lelaki bernama Antony Cauvin ini mencuri hati ribuan netizen di laman sosial apabila dia tampil dengan idea tersendiri menghasilkan sebuah langsir khas hanya untuk menunaikan hasrat memeluk neneknya secara dekat.

Video berdurasi 1 minit 26 saat yang dikongsi pengguna Facebook bernama Miriam Cauvin itu menunjukkan Antony Cauvin mendirikan langsir khas yang dipasangkan sarung lengan plastik untuk membolehkan dia memeluk neneknya.


Sumber Facebook miriam.butt.92

Jelas Cauvin, langsir khas itu direka kerana dia teringin sangat memeluk neneknya.

Video berkenaan bukan sahaja mendapat lebih 4 juta tontonan pengguna, malah, ruangan komen di muat naik itu juga dibanjiri kata-kata netizen yang rata-ratanya memuji tindakan Cauvin kerana tampil dengan idea genius.

Cauvin memeluk neneknya menggunakan langsir khas ciptaannya.

Biarpun England mula melonggarkan beberapa sekatan terhadap penduduk di negara itu, kerajaan negara itu masih tidak menyarankan orang ramai berkunjung ke kawasan tumpuan selain perlu mengekalkan jarak dua meter daripada orang lain.