Skip to main content

Dunia

Delegasi Trump buang hadiah, telefon pemberian China sebelum naik Air Force One

President Donald Trump boards Air Force One, Friday, May 15, 2026, at Beijing Capital International Airport in Beijing. (AP Photo/Mark Schiefelbein)
Presiden Donald Trump menaiki pesawat Air Force One pada Jumaat, 15 Mei 2026, di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital, Beijing. - Gambar AP

BEIJING: Delegasi Amerika Syarikat (AS) yang mengiringi Presiden Donald Trump dilaporkan membuang semua barangan diberikan oleh pihak China sebelum menaiki pesawat rasmi Air Force One, dalam satu langkah yang mencerminkan kebimbangan keselamatan siber serta ketidakpercayaan berterusan antara kedua-dua negara.

Menurut laporan media antarabangsa, kakitangan kerajaan AS dan anggota media yang mengikuti lawatan itu dilihat melupuskan pelbagai barangan yang diterima daripada tuan rumah China, termasuk telefon sementara, lencana kelayakan, pin serta cenderamata rasmi.

Barangan terbabit dilaporkan dibuang ke dalam tong sampah yang diletakkan berhampiran tangga pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing Capital, sejurus sebelum delegasi menaiki Air Force One untuk pulang ke Amerika Syarikat. 

Arahan keselamatan ketat

Wartawan White House daripada New York Post, Emily Goodin yang berada dalam kumpulan media rasmi memaklumkan, langkah itu dilaksanakan di bawah arahan yang sangat ketat.

“Tiada apa-apa dari China dibenarkan dibawa masuk ke dalam pesawat,” katanya dalam satu hantaran di platform X, yang dipetik dalam laporan berkenaan. 

Image
[INSERT]_Trump delegation discards gift China_X @emilylgoodin

Menurut laporan sama, keseluruhan delegasi AS diarahkan supaya tidak membawa sebarang barangan yang berasal dari China ke dalam pesawat, termasuk bahan yang diberikan sepanjang lawatan rasmi tersebut.

Langkah cegah pengintipan

Tindakan itu dipercayai sebahagian daripada langkah keselamatan siber dan kontra-pengintipan yang lazim diamalkan dalam lawatan berprofil tinggi ke negara yang mempunyai kemampuan pemantauan digital yang canggih.

Sepanjang lawatan berkenaan, anggota delegasi AS dilapor tidak membawa peranti elektronik peribadi mereka, sebaliknya hanya menggunakan telefon sementara yang disediakan khusus bagi tujuan komunikasi semasa berada di China. 

Peranti tersebut turut dilupuskan sebelum berlepas sebagai langkah mengelakkan risiko penggodaman, pemantauan atau kebocoran data sensitif.

Ketegangan di sebalik hubungan diplomatik

Langkah drastik itu sekali gus menonjolkan tahap ketidakpercayaan yang masih wujud antara Washington dan Beijing, walaupun lawatan berkenaan dipaparkan dalam suasana diplomatik yang mesra.

Presiden Trump sebelum itu mengakhiri lawatan rasmi selama dua hari ke Beijing, yang turut menyaksikan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping bagi membincangkan isu perdagangan, teknologi dan geopolitik global.

Namun, di sebalik persembahan hubungan diplomatik yang positif, tindakan membuang semua barangan yang diterima daripada pihak China mencerminkan kebimbangan mendalam terhadap risiko keselamatan dan pengintipan, yang terus menjadi antara isu utama dalam hubungan antara dua kuasa besar dunia itu. - Agensi

Must Watch Video