Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengaku akan menarik balik kesemua saman undang-undang ke atas mereka yang didakwa menghinanya.

Tindakan itu menyusul rampasan kuasa yang digagalkan dua minggu lepas.

Menurut Erdogan, beliau terpanggil untuk mengambil tindakan sedemikian kerana memikirkan pentingnya semangat perpaduan selepas insiden itu.

"Pada peluang ini, untuk sekali ini, saya memaafkan mereka yang tidak menghormati dan menghina saya dalam apa jua cara dan akan menarik balik semua kes terhadap mereka," kata Erdogan.

Beratus-ratus orang didakwa menghina Erdogan, termasuk di media sosial, susulan insiden rampasan kuasa pada 15 Julai lalu.

Antaranya, 21 wartawan yang dibawa ke mahkamah Istanbul pada Jumaat.

Mereka adalah antara 42 wartawan yang ditahan pada Isnin kerana dipercayai terlibat dalam cubaan rampasan kuasa pada pertengahan bulan ini.