Nyawa seekor anjing pengesan dadah bernama Sombra di Colombia kini dalam bahaya apabila geng dadah paling berkuasa di negara itu menawarkan ganjaran tinggi kepada sesiapa yang membunuh haiwan itu.

Sombra, anjing betina baka German Shepherd berusia 6 tahun, dipelihara Pasukan Polis Antidadah Colombia sejak ia masih seekor anak anjing yang kecil.

Ia telah dilatih dengan baik untuk membantu pasukan tersebut menumpaskan banyak kes melibatkan penyeludupan dan pengedaran dadah selama ini, termasuk menyebabkan ratusan penjenayah berjaya disumbat ke dalam penjara.

Terbaru, ia berjaya mengesan pergerakan bekalan kokain berjumlah 10 tan bernilai ratusan juta dolar yang dikendalikan sindiket kartel dadah Urabenos.

Menurut sumber risikan, gara-gara marah dengan ‘kejayaan’ anjing tersebut, kartel dadah yang digeruni orang awam itu telah menawarkan ganjaran bernilai 200 juta Peso (RM282,000) pada sesiapa yang berhasil membunuhnya.

Khabar tersebut membuatkan pasukan polis Colombia memindahkan Sombra ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bogota yang terletak di luar kawasan pengaruh kartel Urabenos.

Selain dipindahkan, Sombra bukan saja sentiasa diiringi pengendalinya, malah keselamatannya turut dipastikan oleh beberapa anggota polis bersenjata.

Itu bukan kali pertama Urabenos menawarkan wang sebagai ganjaran untuk menghapuskan pihak yang dilihat sebagai penghalang aktiviti haram mereka. Pada tahun 2012, geng dadah itu pernah menawarkan hadiah wang tunai ratusan dolar bagi sesiapa yang mempu membunuh seorang anggota polis yang dibenci mereka.