ANKARA: Denmark sedang mengkaji beberapa langkah dan perundangan untuk mencegah berulangnya insiden pembakaran al-Quran, menurut Kementerian Luar Mesir pada Jumaat.

Menteri Luar Denmark Lars Rasmussen mengesahkan perkara berkenaan menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatannya dari Mesir Sameh Shoukry, Agensi Anadolu memetik kenyataan jurucakap Kementerian Luar Ahmed Abu Zeid.

Rasmussen memberitahu Shoukry bahawa insiden yang melibatkan pembakaran dan penghinaan al-Quran di Denmark baru-baru ini adalah "sesuatu yang dikesali dan bercanggah dengan nilai masyarakat Denmark," menurut kenyataan itu.

Sambil mengulangi kecaman Mesir terhadap pembakaran al-Quran, Shoukry berkata bahawa kejadian itu dilihat sebagai provokasi terhadap umat Islam di seluruh dunia.

Beliau juga menegaskan bahawa insiden ini melanggar hak asasi manusia, mengancam kewujudan bersama secara aman dan menyemarakkan ekstremisme.

Di sebalik kecaman meluas, ahli kumpulan Islamofobia dan nasionalis ekstrem yang dipanggil "Danske Patrioter" (Patriot Denmark) pada Selasa membakar senaskhah al-Quran di hadapan Kedutaan Turkiye di Copenhagen, ibu negara Denmark.

Mereka juga membakar kitab suci umat Islam di hadapan kedutaan Iraq, Mesir dan Arab Saudi.

Beberapa bulan kebelakangan ini perbuatan membakar atau mencemarkan al-Quran atau percubaan untuk melakukannya oleh tokoh atau kumpulan Islamofobia, terutamanya di negara-negara Eropah utara dan Nordik semakin kerap berlaku.

-- BERNAMA