Denmark rancang larang media sosial untuk pengguna bawah 15 tahun

Denmark mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan larangan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak berusia bawah 15 tahun. - Gambar hiasan
COPENHAGEN: Denmark pada Selasa (7 Okt) mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan larangan penggunaan media sosial kepada kanak-kanak berusia bawah 15 tahun.
Perdana Menterinya, Mette Frederiksen tidak menjelaskan secara terperinci platform mana yang akan terlibat atau bagaimana pelaksanaannya akan dijalankan, ketika mengumumkan inisiatif itu dalam ucapan pembukaan sesi Parlimen musim luruh negara itu.
Rang undang-undang berkenaan - yang masih belum mempunyai garis masa pelaksanaan akan memberi kebenaran kepada ibu bapa untuk membenarkan anak mereka menggunakan media sosial bermula pada usia 13 tahun.
“Telefon bimbit dan media sosial sedang merampas zaman kanak-kanak anak-anak kita,” kata Frederiksen, sambil menegaskan bahawa 60 peratus remaja lelaki Denmark berusia antara 11 hingga 19 tahun kini lebih gemar duduk di rumah berbanding meluangkan masa bersama rakan.Australia sebelum ini menjadi antara negara terawal di dunia yang memperkenalkan langkah untuk mengurangkan kesan negatif internet terhadap golongan muda.
Pada akhir tahun 2024, Parlimen Australia meluluskan larangan penggunaan media sosial bagi individu berusia bawah 16 tahun, meskipun butiran mengenai mekanisme penguatkuasaannya masih belum jelas.
Platform seperti Facebook, Snapchat, TikTok dan YouTube termasuk dalam senarai platform yang terlibat di bawah larangan Australia itu.
Sementara itu, pada Jun lalu, Greece mencadangkan agar ditetapkan “usia dewasa digital” di seluruh Kesatuan Eropah (EU), yang akan menetapkan bahawa kanak-kanak tidak boleh mengakses media sosial tanpa kebenaran ibu bapa. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami