Skip to main content

Dunia

Institut kesihatan Finland gesa larang penjualan minuman tenaga kepada bawah 18 tahun

71613093762_energydrinks.jpg
Institut Kesihatan dan Kebajikan Finland mendedahkan, hampir tujuh daripada 10 individu berusia antara 12 hingga 20 tahun mengambil minuman tenaga sekurang-kurangnya sekali-sekala. - Gambar hiasan

ISTANBUL: Institut Kesihatan dan Kebajikan Finland pada Khamis menggesa larangan penjualan minuman tenaga kepada kanak-kanak di bawah 18 tahun, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik penyiar awam Yle.

Institut itu menggesa larangan berkenaan selepas mendedahkan bahawa hampir tujuh daripada 10 individu berusia antara 12 hingga 20 tahun mengambil minuman tenaga sekurang-kurangnya sekali-sekala.

Menurut institut itu, kebanyakan daripada mereka berasa bergantung kepada minuman tenaga, dengan ramai dalam kumpulan umur sama menyatakan mereka mengambilnya untuk kekal berjaga atau berasa lebih segar.

“Pengambilan yang tinggi, terutama pada waktu malam, boleh memberi kesan sebaliknya -- .ia boleh menyebabkan gangguan tidur dan meningkatkan rasa letih,” kata Pengarah Penyelidikan Sari Niinisto dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa sebahagian individu berusia 12 hingga 20 tahun menggantikan sarapan pagi dan makan tengah hari di sekolah dengan minuman tenaga, satu tabiat yang boleh menjejaskan tahap tenaga serta mengganggu tumpuan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement