ISTANBUL: Seorang anggota pengaman yang berkhidmat dengan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) terbunuh manakala dua lagi cedera selepas peluru mortar mengenai kedudukan mereka di selatan Lubnan, menurut misi itu pada Khamis, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam satu kenyataan, UNIFIL memaklumkan anggota pengaman itu mengalami kecederaan parah "apabila peluru mortar mengenai kedudukannya berhampiran Marjayoun, tenggara Lubnan" pada lewat malam Rabu.
Anggota yang cedera itu telah dipindahkan melalui udara ke sebuah hospital di Beirut, namun dia kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan tersebut.
Misi itu menyatakan dua lagi anggota pengaman turut cedera dalam insiden berkenaan dan sedang menerima rawatan di kemudahan perubatan di dalam pangkalan UNIFIL.
Pasukan pengaman itu berkata pihaknya telah melancarkan siasatan "bagi memastikan keadaan sebenar yang membawa kepada insiden tragis ini."
"UNIFIL telah mengesan peningkatan jumlah trajektori dan impak bedilan di Selatan Lubnan. Keganasan ini mesti dihentikan," menurut misi itu.
-- BERNAMA-ANADOLU