INTERNATIONAL
Diplomasi Filem ASEAN: Merentas sempadan - Dari Putrajaya ke Nusantara

Ibu Kota Nusantara (IKN) - ibu negara baharu bagi Indonesia yang terletak di sebuah lembah hijau di Kalimantan Timur. - Gambar/ Reuters
MENYUSUR kembali memori - tanggal 1 Jun 1999.
Tanggal bersejarah yang menyaksikan sejumlah lebih kurang 300 orang kakitangan Jabatan Perdana Menteri mula berpindah ke pejabat baharu mereka di Putrajaya - sebelum Pejabat Perdana Menteri menyusul untuk beroperasi secara rasmi dari sana 20 hari kemudian. Ia detik penting menyaksikan perpindahan pusat pentadbiran negara dari Kuala Lumpur ke sebuah kawasan yang asalnya hanyalah sebuah ladang getah dan kelapa sawit; Ladang Prang Besar.
Beberapa masa kemudian, ketika tahun-tahun pertama Putrajaya, saya yang masih remaja ketika itu sempat menyertai rombongan keluarga dari kampung halaman untuk bergambar di hadapan bangunan Perdana Putra yang begitu ikonik buat rakyat Malaysia.
Semua bayangan itu muncul kembali minggu lalu, saat saya bergambar di hadapan Istana Garuda - ketika menjejakkan kaki ke Ibu Kota Nusantara (IKN) - ibu negara baharu bagi Indonesia. Sebuah ibu kota baharu yang terletak di sebuah lembah hijau di Kalimantan Timur - perpindahan yang dilihat mampu menjadi pencetus perubahan besar kepada Borneo; pulau ketiga terbesar di dunia ini.Meskipun definisi dan sifat pusat pentadbiran di Putrajaya dan ibu kota negara di Nusantara itu berbeza, namun usaha perpindahan itu membawa semangat yang sama; dalam mengimbangi dominasi dan mewujudkan kesaksamaan wilayah. Dalam lawatan ini, sepertimana kelaziman, hasrat saya tentulah untuk melihat suburnya respresentasi elemen kebudayaan termasuk filem di sebuah kota yang menjadi cerminan negara.
Sepertimana kegiatan ekonomi yang lain, perfileman dan sinema Indonesia juga dahulu pernah terlalu bertumpu di pulau Jawa. Menyedari ia bukanlah suatu situasi yang baik, di samping memahami tentang peranan besar yang boleh dimainkan oleh filem dalam pembangunan wilayah; gerakan desentralisasi diusahakan oleh Indonesia melalui usaha memupuk komuniti filem yang berada di seluruh negara.

Penulis berkunjung ke Ibu Kota Nusantara (IKN) - ibu negara baharu bagi Indonesia, baru-baru ini.
Ibu Kota Nusantara sebagai sebuah wilayah baharu juga tidak terkecuali.
Tahun lalu, pada tanggal 1 Ogos 2024, PT Produksi Film Negara (PFN) bersama Otorita IKN – iaitu pihak berwajib bagi Nusantara - telah bersama dalam menganjurkan Nusantara Short Film Festival 2024. Dengan mengangkat tema `Nusantara untuk Semua: Lestari Budayanya, Maju Pariwisatanya, dan Berkembang Ekonomi Kreatifnya`, yang menekankan pentingnya keseimbangan antara pembangunan infrastruktur dan budaya. Ia juga mendorong inovasi dan kreativiti dalam sektor perfileman yang berfokus pada kekayaan budaya Nusantara.
Meski dalam skala yang kecil, penganjuran ini dilihat sangat signifikan. Sekali lagi filem diangkat dan diakui sebagai citra penting dalam membentuk sekali gus mempersembahkan wajah sebuah peradaban kota baharu di Nusantara. Diharapkan ia menjadi langkah mula yang strategik dalam membina imej serta merakam sejarah Nusantara di layar sinema.
Ketika sedang mengikuti sebuah mesyuarat dalam talian serta minum petang di salah sebuah kafe di Nusantara, kebetulan saya bertemu dengan sekumpulan kakitangan perhubungan awam Otorita IKN yang kebetulan sedang menjalankan sebuah penggambaran video di situ. Saya sempat bertukar maklumat perhubungan serta berbual ringkas dengan mereka; khususnya tentang kemungkinan dalam usaha menggalakkan pemaparan Nusantara di layar. Sebagai sebuah kota baharu, upaya menggalak pemaparan IKN dalam naratif penceritaan sedang mereka gerakkan.

Penulis bersama Dinas Perpustakaan & Arsip Kota Balikpapan.
Ketika kunjungan itu juga, saya juga berkesempatan ke dua buah lagi kota di Kalimantan Timur yang diletakkan secara rasmi sebagai kota penyangga (kota penampan) bagi Nusantara; iaitu kota Balikpapan dan kota Samarinda. Menelusuri suasana dan landskap filem dan sinema di sana, ia masih muda dan baharu – namun penuh pengharapan.
Pada salah satu malam, saya mengatur pertemuan dengan Komunitas Sineas Muda Balikpapan (KSMB), sebuah komuniti filem yang berusaha membangunkan literasi, apresiasi serta ekosistem filem di kota yang mendapat jolokan Kota Minyak ini. Ditubuhkan pada tahun 2012, komuniti yang diketuai oleh Abdul Rachman Rizky ini aktif dalam pelbagai usaha membangunkan bakat perfileman di sana.
Bersama Dinas Pemuda, Olahraga & Pariwisata Kota Balikpapan (Jabatan Belia, Sukan & Pelancongan Kota Balikpapan), KSMB sejak bertahun lalu telah menganjurkan acara tahunan - Balikpapan Film Festival - sebagai platform untuk bakat-bakat muda di wilayah Kalimantan Timur memperagakan bakat dalam dunia perfileman.
Selain itu, saya juga berkesempatan untuk hadir dalam sebuah acara anjuran Dinas Perpustakaan & Arsip Kota Balikpapan (Jabatan Perpustakaan & Arkib Kota Balikpapan) – yang turut menyelitkan pengisian acara pameran warisan audiovisual. Berkenalan dan membina hubungan dengan mereka memperlihatkan bagaimana warisan audiovisual begitu diraikan di sana.

Pameran warisan Audiovisual Kota Balikpapan oleh Dinas.
Meneliti satu persatu koleksi yang dipamerkan – saya membayangkan tentang ruang dan peluang membangun memori kolektif dalam bentuk audiovisual bagi tiga negara di Borneo. Ia berpotensi untuk menjadi sebuah memori bersama warga tiga negara anggota ASEAN ini secara kolektif mengangkat wajah wilayah yang istimewa ini.
Sejak tahun 2016, saya bersama beberapa rakan mengusahakan Borneo Creative Content Incubator Centre (BCCIC). Antara yang menjadi fokus kami di BCCIC adalah pembangunan bakat. Namun, ketika sekian banyak penerbitan yang mengangkat Borneo sebagai subjek serta latar dalam produksi mereka, dengan jumlah penduduk lebih 20 juta, BCCIC turut melihat prospek Borneo sebagai pasaran yang berpotensi.
Usaha ini akan menjadi lebih mudah sekiranya diusahakan secara melalui kerjasama rentas negara – antara tiga negara di pulau ini – Malaysia, Brunei dan Indonesia. Ia juga memerlukan Borneo untuk lebih memperkukuh ekonomi – dalam membina kuasa membeli yang lebih tinggi.
Melalui kerjasama beberapa wilayah lain di pulau ini seperti Sarawak dan Brunei, keberadaan Nusantara dilihat mampu menjadi salah satu pemudahcara ke arah itu – dalam memangkin ekosistem ekonomi Borneo.
Selain semangat kebersamaan dalam ASEAN yang telah disemai sejak sekian lama, platform kerjasama ekonomi rentas negara sedia ada yang berkaitan seperti Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) wajar dimanfaatkan sebaiknya dalam membuka jalan ke arah kerjasama ini. Borneo mampu menjadi pintu kepada filem dari tiga negara – untuk menembusi pasaran tiga negara secara bersama.
BCCIC percaya kerjasama di antara negara mampu memposisikan jenama Borneo dalam peta dunia perfileman, berasaskan ciri-ciri tempatan yang unik dan istimewa.
Dari memori zaman remaja di Putrajaya, membawa kembara saya ke Nusantara; meneroka filem sebagai medium signifikan yang mampu membawa kebersamaan rantau ini.
Dalam semangat ASEAN, kita meraikan Nusantara – sebagai harapan bersama.
*Artikel ini ditulis oleh Ts Azharul Azmir Kamarulzaman, Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF) dan Pengarah Urusan bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd.
**Untuk membaca lebih lanjut tentang inisiatif ini, boleh dilayari di www.diplomasifilem.com.
***Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami