BEIJING: Naib Menteri Luar China Ma Zhaoxu dan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik Daniel Kritenbrink mengadakan perbincangan membina mengenai usaha meningkatkan hubungan dua hala dan mengurus perselisihan antara kedua-dua belah pihak.

Perbincangan itu diadakan di Beijing pada 5 Jun, lapor Sputnik yang memetik Kementerian Luar China pada Selasa.

"Kedua-dua pihak mengadakan komunikasi yang jujur, membina dan produktif untuk menggalakkan pengukuhan hubungan China-AS serta pengurusan yang betul dan menangani perselisihan mengikut konsensus yang dicapai oleh kedua-dua ketua negara di Bali November lepas," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

China juga menjelaskan kedudukannya mengenai Taiwan dan isu dasar luar penting yang lain, menurut kenyataan itu. Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan interaksi mereka.

Kritenbrink ditemani oleh Pengarah Kanan Hal Ehwal China dan Taiwan Majlis Keselamatan Negara AS Sarah Beran. Lawatan Kritenbrink ke Beijing adalah sebahagian daripada siri lawatannya dari 4-10 Jun, dengan beliau juga dijangka melawat New Zealand.

Pentadbiran Biden telah menyuarakan minatnya untuk menjadualkan semula lawatan Setiausaha Negara Antony Blinken ke China, yang dibatalkan susulan insiden belon pada awal Februari, tetapi masih menunggu jawapan Beijing.

-- BERNAMA