Skip to main content

Dunia

Diplomat wanita pertama Palestin, Leila Shahid meninggal dunia di Perancis pada usia 76 tahun

FILE - Palestinian envoy to the European Union, Leila Shahid, addresses the public during an international meeting in support of the Israeli-Palestinian peace process in Brussels on June 28, 2011. (AP Photo/Yves Logghe, File)
Leila Shahid, diplomat wanita pertama Palestin yang pernah memegang beberapa jawatan penting di Eropah ketika konflik Asia Barat berada pada kemuncaknya, meninggal dunia di Perancis pada usia 76 tahun. - Gambar fail AP

RAMALLAH: Leila Shahid, diplomat wanita pertama Palestin yang pernah memegang beberapa jawatan penting di Eropah ketika konflik Asia Barat berada pada kemuncaknya, meninggal dunia di Perancis pada usia 76 tahun.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkan beliau sebagai “model diplomasi yang berpegang teguh kepada nilai kebebasan, keadilan dan keamanan,” sambil menegaskan bahawa “beliau kekal setia kepada perjuangan rakyatnya hingga ke akhir hayat,” lapor agensi berita rasmi WAFA.

Advertisement

Leila Shahid dilahirkan di Beirut pada 1949, setahun selepas perang yang tercetus susulan penubuhan negara Israel, ketika ratusan ribu rakyat Palestin melarikan diri atau diusir dari tanah air mereka.

Ibu bapanya berasal dari Baitulmaqdis dan kawasan yang kini merupakan utara Israel.

Selepas bekerja di kem-kem pelarian Palestin, beliau ke Paris pada tahun 1970-an untuk melanjutkan pengajian kedoktoran dalam bidang antropologi. 

Pada 1976, beliau dipilih sebagai ketua kesatuan pelajar Palestin di Perancis.

Beliau kembali ke Beirut ketika berlakunya pembunuhan beramai-ramai Sabra dan Shatila pada 1982, apabila pasukan bersenjata Kristian Lubnan yang disokong Israel membunuh ratusan lelaki, wanita dan kanak-kanak Palestin di dua kem pelarian.

Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) kemudiannya menugaskan beliau ke Ireland pada 1989, menjadikannya wanita Palestin pertama dilantik sebagai duta. 

Setahun kemudian, beliau ditempatkan di Belanda.

Dari 1993 hingga 2005, beliau berkhidmat sebagai wakil Palestin ke Perancis.

Tempoh itu menyaksikan kemuncak proses damai serta tercetusnya intifada kedua pada tahun 2000. 

Beliau turut berada di sisi pemimpin Palestin, Yasser Arafat, pada hari-hari terakhir sebelum Arafat meninggal dunia di sebuah hospital tentera Perancis pada 2004.

Dari tahun 2006 hingga 2014, beliau berkhidmat sebagai wakil Palestin ke Kesatuan Eropah, Belgium dan Luxembourg.

Leila Shahid juga merupakan pengarah lama jurnal “The Review of Palestinian Studies,” sebuah terbitan berbahasa Perancis yang memfokuskan sejarah konflik Palestin. - Agensi

Must Watch Video