TINDAKAN Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Space X, Elon Musk, yang melabel Vern Unsworth sebagai pedofil, mencetus kemarahan penyelam Britain itu.

Malah, beliau sedang mempertimbangkan untuk mengheret Musk ke muka pengadilan.

Ketegangan hubungan dua individu ini berpunca daripada tindakan Unsworth yang mengkritik Musk kerana menghantar kapal selam kecil bagi misi menyelamat 12 pemain dan seorang jurulatih bola sepak yang terperangkap di dalam Gua Tham Luang minggu lepas.

BACA: Mangsa gua Tham Luang dibenar keluar hospital minggu hadapan

Unsworth menyifatkan tindakan Musk itu sebagai membuang masa dan hanya satu "PR stunt" (untuk meraih publisiti murahan) kerana kapal selam berkenaan tidak praktikal dalam misi berkenan.

Namun, Musk memberi reaksi yang mengejutkan di akaun Twitter miliknya pada Ahad apabila dia menggelar Unsworth sebagai "pedo guy."

Dalam satu lagi tweet, Musk berkata dia berani bertaruh dakwaannya itu benar.

Bagaimanapun, kedua-dua tweet itu telah dipadamkan kemudiannya.

Unsworth dalam satu temu bual bersama stesen televisyen Australia, Seven News, pada Isnin memaklumkan, dia mahu dunia tahu sikap sebenar hartawan Amerika Syarikat itu.

"Saya tak boleh nak cakap apa saya rasa tentang lelaki ini, tetapi ia masih belum selesai.

"Saya masih belum tengok respon di Twitter lagi, tetapi orang telah memberitahu saya mengenai apa yang terjadi.

"Dan orang ramai di seluruh dunia perlu tahu bagaimana sifat sebenar lelaki ini."