KUALA LUMPUR: Dr Anthony Fauci, ‘wajah’ di sebalik usaha kerajaan Amerika Syarikat untuk menangani pandemik COVID-19, akhirnya ‘kecundang’ selepas disahkan positif COVID-19.

Fauci yang merupakan ketua penasihat perubatan Presiden A.S., Joe Biden dilaporkan mengalami simptom ringan, menurut Institut Kesihatan (NIH) dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Fauci juga dilaporkan tidak mengadakan perjumpaan dengan Biden, kata kenyataan itu lagi.

NIH turut berkata, Fauci, 81, sudah divaksin dan telah menerima dua dos penggalak kini sedang menjalai pengasingan dan bekerja dari rumah.

Fauci, yang sudah lama berkhidmat sebagai Pengarah Institut Kebangsaan Alahan dan Penyakit Berjangkit itu, mula mendapat perhatian selepas pandemik COVID-19 mula merebak dan ditugaskan di White House di bawah pentadbiran bekas Presiden A.S. Donald Trump.

Namun, Trump dan kuncu-kuncunya mula mengkritik Fauci selepas beliau memberi amaran terhadap pembukaan sektor ekonomi negara Uncle Sam berkenaan.

Trump menjadi lebih kritikal terhadap nasihat dan amaran yang diberikan pegawai-pegawai kesihatan di negara itu selepas tempoh berkurung di seluruh A.S. terpaksa dilaksana sehubungan peningkatan kes COVID-19.