DUNIA
DR Congo, Rwanda tandatangani perjanjian damai menerusi usaha perantaraan AS

Perjanjian itu turut membuka jalan kepada AS dan syarikat Amerika untuk mendapatkan akses kepada sumber mineral di rantau berkenaan. - Foto AP
HAMILTON: Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan Republik Rwanda pada Jumaat menandatangani perjanjian damai hasil usaha perantaraan Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan pertempuran di timur Congo, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Kami berterima kasih atas kehadiran anda berdua di sini dan ini sangat penting. Ini adalah detik penting selepas 30 tahun perang," kata Setiausaha Negara AS Marco Rubio pada majlis menandatangani perjanjian itu.
Perjanjian itu merangkumi komitmen untuk menghormati integriti wilayah, menghentikan permusuhan, menarik balik dan melucutkan senjata kumpulan bersenjata bukan negara, mewujudkan mekanisme penyelarasan keselamatan bersama serta memudahkan kepulangan pelarian, akses kemanusiaan dan kerjasama ekonomi serantau.
Menurut pelbagai laporan, perjanjian itu turut membuka jalan kepada AS dan syarikat Amerika untuk mendapatkan akses kepada sumber mineral di rantau berkenaan sebagai insentif dalam membantu menamatkan peperangan.Rubio melahirkan rasa teruja terhadap perjanjian itu dan berkata: "Kami tidak sabar untuk menerima ketua negara dan wakil kedua-dua negara di Washington dalam beberapa minggu lagi bagi memuktamadkan protokol dan perjanjian sepenuhnya."
Beliau turut menegaskan bahawa "ia bukan sekadar untuk menamatkan peperangan atau menyelamatkan nyawa, tetapi membolehkan rakyat untuk hidup."
Menteri Luar Rwanda Olivier Nduhungirehe berkata perjanjian itu merupakan satu "titik perubahan".
"Kami akan memberikan sokongan penuh dalam minggu-minggu akan datang kepada usaha pengantaraan Qatar ... bagi mendapatkan perjanjian damai antara kerajaan DR Congo dan AFC/M23," katanya, merujuk kepada fasa baharu dalam proses berkenaan.
"Kemakmuran bersama dan kerjasama rentas sempadan akan memberi manfaat yang ketara untuk kedua-dua negara," kata Nduhungirehe sambil menekankan bahawa DR Congo dan Rwanda akan "memperkukuh kerjasama ekonomi, termasuk dengan syarikat dan pelabur Amerika."
Trump kemudian menyambut kedua-dua menteri luar negara itu di White House.
"Kita berada di sini hari ini untuk meraikan satu kejayaan yang gemilang," kata Trump. "Hari ini, keganasan dan kemusnahan akan berakhir dan seluruh wilayah memulakan lembaran harapan baru."
Trump turut menandatangani surat kepada Presiden Rwanda Paul Kagame dan Presiden DR Congo Felix Tshisekedi, mengucapkan tahniah atas penyelesaian konflik dan menjemput mereka ke Washington, DC.
Pemberontak M23 yang menjadi pusat konflik di timur Congo telah merampas banyak wilayah sejak Disember, termasuk ibu negeri wilayah Goma dan Bukavu di Kivu Utara dan Selatan, sekali gus meningkatkan ketidakstabilan di rantau yang sekian lama dibelenggu oleh kumpulan bersenjata.
Kerajaan Congo menuduh negara jirannya, Rwanda, menyokong pemberontak M23 yang bertempur di timur Congo, namun Kigali menafikan dakwaan itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan bahawa konflik itu telah menyebabkan lebih 7.8 juta orang kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami