Skip to main content

Malaysia

Karnival 60 Tahun MARA fokus 'Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan' Bumiputera

Pendidikan Mara
Karnival 60 Tahun MARA berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei 2026, dari 10 pagi hingga 10 malam. -Foto MARA

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) meletakkan fokus 3P – Penyertaan, Pemilikan dan Penguasaan – sebagai teras utama penganjuran Karnival 60 Tahun MARA.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman, berkata karnival berkenaan merupakan agenda besar MARA bagi memperkukuh kedudukan Bumiputera dalam ekosistem pendidikan dan industri, bukan sekadar sebagai tenaga kerja, malah sebagai pemilik serta penggerak industri.

Advertisement

Menurut beliau, konsep Penyertaan merujuk kepada keupayaan graduan institusi pendidikan MARA untuk memasuki pasaran kerja dengan kadar kebolehkerjaan yang tinggi.

“Daripada sistem pendidikan MARA, kadar kebolehpasaran graduan adalah sangat tinggi, sekitar 97 hingga 98 peratus.

"Dengan ilmu dan sijil yang dimiliki, anak‑anak Bumiputera dapat menyertai industri dan bekerja,” katanya.

Namun, jelas beliau, penyertaan semata‑mata tidak mencukupi memandangkan Bumiputera membentuk hampir 70 peratus populasi negara.

Datuk Zulfikri berkata Pemilikan merupakan fasa penting seterusnya yang perlu dicapai menerusi pembentukan usahawan serta entiti perniagaan Bumiputera dalam sektor‑sektor strategik.

“Kita tidak mahu Bumiputera hanya bekerja. Kita mahu mereka memiliki entiti perniagaan dan menjadi pemain industri. Inilah P yang kedua, Pemilikan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa matlamat akhir MARA ialah Penguasaan, iaitu apabila Bumiputera mempunyai kehadiran yang signifikan dalam keseluruhan rantaian bekalan sesuatu industri.

“Apabila ramai pemain industri Bumiputera wujud dalam satu sektor — dari hulu ke hilir — itulah yang kita panggil penguasaan.

"Penguasaan terhasil daripada kuantiti dan kekuatan pemilikan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan 3P itu memastikan pembangunan ekonomi Bumiputera dilaksanakan secara berperingkat, mampan dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi MARA sejak penubuhannya enam dekad lalu.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan AWANI Pagi, yang bersiaran khas dari Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Karnival 60 Tahun MARA berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bermula 1 hingga 5 Mei 2026, dari 10 pagi hingga 10 malam.

Penganjuran karnival itu dijangka menjadi platform interaktif yang menghimpunkan institusi pendidikan, usahawan, pemain industri dan masyarakat umum bagi memahami serta menghayati agenda besar pembangunan Bumiputera pada masa hadapan.

Must Watch Video