JENIN: Ketika "hukuman mati" di lapangan berterusan terhadap orang awam Palestin oleh tentera pendudukan Israel, dron sebagai satu lagi "alat pembunuh" digunakan untuk menjalankan "operasi" berkenaan dari jarak jauh tanpa perlu mendedahkan askarnya kepada sebarang risiko.
Tentera Israel meningkatkan penggunaan dron untuk membunuh dan mencederakan rakyat Palestin sejak pencerobohannya di Semenanjung Gaza bermula Oktober tahun lepas, walaupun sebelum ini ia dihadkan untuk tujuan risikan, lapor Agensi berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
"Askar Israel seolah-olah sedang dalam permainan elektronik dan bukannya nyawa manusia," kata Umm Majdi Ararawi kepada WAFA.
Menceritakan detik itu, katanya subuh Rabu lepas, sebuah dron Israel mengebom sekumpulan pemuda yang berada di kawasan kejiranan Al-Samran di kem pelarian Jenin, Tebing Barat dalam satu operasi tentera yang berlangsung kira-kira enam jam.
"Dron Israel mengebom mereka yang sedang berkumpul. Saya mendengar letupan dahsyat di hadapan rumah.
"Saya cepat-cepat keluar dan mendapati sekumpulan lelaki muda terbaring di atas tanah dengan kecederaan parah.
"Mereka itu jiran saya di seberang jalan. Semuanya lelaki muda dan ini Hamza yang mati syahid," kata wanita itu sambal berdiri bersebelahan jenazah anaknya Hamza Ararawi, 27, di Hospital Kerajaan Jenin, yang meninggal dunia akibat kecederaan parah di perut dan dada.
Tiga pemuda dalam lingkungan usia 19 hingga 27 tahun termasuk Hamza terbunuh di lokasi, seorang meninggal dunia semasa dikejarkan ke Hospital Al-Syahid dan 13 yang lain cedera dalam insiden berkenaan.
Umm Majdi Ararawi menerangkan butiran pengeboman yang berlaku di hadapan rumahnya. Dia berkata: "(Melihat) darah yang mengalir di jalanan itu sangat mengerikan. Saya menjerit, meminta orang ramai menghubungi ambulans.
"Kami mengangkut yang cedera seramai boleh dengan kereta persendirian, sebahagian yang lain diangkut oleh kru kecemasan," katanya.
Pengarah Yayasan Al-Haq, Shawan Jabarin menyifatkan pengeboman Israel yang disengajakan ke atas orang awam menggunakan dron sebagai jenayah perang yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa, terutama apabila orang yang disasarkan itu diketahui oleh tentera pendudukan dan maklumatnya tercatat dalam daftar negara.
"Tentera pendudukan tidak berusaha sedikit pun untuk menangkapnya jika memang terbukti mereka (mangsa) dikehendaki," jelasnya.
Beliau menambah: "Ini adalah pembunuhan di luar garis undang-undang dan pelaku jenayah ini adalah pendudukan Israel, bermula dengan anggota tentera bawahan sehingga ke pasukan perisikan dan sudah tentu tanpa mengecualikan Perdana Menteri Israel, kerana ini bukanlah kerja seorang askar tetapi seluruh sistem ketenteraan dan dialah (PM) yang menyetujuinya."
Beliau mengatakan apa yang dilakukan Israel dengan membunuh melalui dron adalah perbuatan sengaja, yang bukan sahaja membunuh orang didakwa dikehendaki, tetapi juga sekumpulan besar orang lain yang berhampiran.
Menurut WAFA, sejak awal pencerobohan Israel ke atas Gaza, tentera pendudukan telah memperhebatkan pencerobohannya ke bandar dan kem Palestin dan telah mengakibatkan kemusnahan teruk pada infrastruktur, rumah dan bangunan kedai selain menangkap tanpa sebab dan membunuh pemuda Palestin dengan sengaja.
Israel kembali mengaktifkan kaedah pembunuhan sama seperti dilaksana semasa Intifada Palestin Kedua yang pada masa itu menyaksikan pesawat perang Apache digunakan.
Ia kembali diaktifkan pada Julai 2023, apabila pesawat berkenaan mengebom sebuah rumah di tengah-tengah kem Jenin, membunuh penghuni di dalamnya.
Sejak awal Ramadan pula, Israel telah membunuh tujuh rakyat Palestin dalam dua serangan berasingan, terkini adalah insiden di kejiranan Al-Samran, Rabu lalu.
Pada 10 Ramadan, dron pendudukan membunuh tiga pemuda yang berada di dalam kereta persendirian setengah jam sebelum waktu Iftar berhampiran kawasan Al-Hadaf di bandar Jenin.
Februari lepas, dron pendudukan dilaporkan mengebom sebuah kereta persendirian di tengah-tengah kem Jenin, membunuh Yasser Hanoun yang berada di dalamnya.
Jumlah korban di bandar Jenin sejak permulaan pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza mencecah kira-kira 107 orang, dalam sekurang-kurangnya 10 operasi melibatkan dron.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Apr 02 2024
UAV Elbit Hermes 900 dilaporkan antara dron pembunuh yang digunakan tentera Israel dalam perang di Palestin. -Wikipedia
Program Jelajah Siswa antara pengisian Hawana 2024
Sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024 pada Mei ini buat julung kalinya akan menyaksikan penglibatan pelajar jurusan komunikasi menerusi Program Jelajah Siswa.
[KEMAS KINI] SPRM ambil keterangan, MB Perlis tegaskan tidak direman
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil keterangan Maenteri Besar Perlis kira-kira jam 10 pagi tadi.
Bekas isteri Safee Sali fail tuntutan balas nusyuz
Sebutan semula kes bagi menjawab tuntutan itu oleh plantif ditetapkan pada 11 Jun depan.
Polis selamat mangsa pemerdagangan orang dipaksa bekerja di kelab malam
Polis berjaya menyelamatkan empat wanita warga Filipina yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan orang.
Pengasas maahad tahfiz didakwa di mahkamah kes liwat pelajar
Tertuduh didakwa meliwat tiga pelajar berusia antara 12 hingga 15 tahun manakala dua daripada mereka merupakan mangsa yang sama.
Pelajar UCLA dakwa universiti lepas tangan
Sebagai pelajar di antara puluhan kampus yang membantah serangan di Gaza, Isabelle Friedman yang memimpin akhbar bebas pelajar UCLA berbicara mengenai cabaran kehidupan harian pelajar dan memberikan liputan berita yang seimbang ketika protes terus meningkat.
Beg sandang dicuri dalam tandas, wanita sarat mengandung trauma kejar peragut
Suspek lelaki berusia 22 tahun yang mempunyai empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah itu direman selama tiga hari bermula 30 April hingga 2 Mei 2024.
25 maut, 13 cedera bas terjunam dalam sungai Peru
Kemalangan bas di kawasan gunung Andes di utara Peru telah meragut 25 nyawa manakala 13 cedera pada Isnin.
Nahas Helikopter: Wira negara, damailah anda di sana
Satu negara bersimpati, bersedih dengan perginya pejuang yang telah banyak berjasa buat Malaysia. Bingkisan ini, istimewa buat semua wira yang kini berada di negara abadi.
PRK KKB: Serangan peribadi tak jejas kempen calon PH
Serangan peribadi oleh pihak lawan tidak sesekali menjejaskan perjalanan kempen calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu ini.
'Dron pembunuh', jenayah perang baharu Israel
Tentera Israel meningkatkan penggunaan dron untuk membunuh dan mencederakan rakyat Palestin sejak pencerobohannya di Semenanjung Gaza bermula Oktober tahun lepas.