Skip to main content

Dunia

Dua anggota polis maut dalam insiden berbalas tembakan di Tak Bai

41701012936_PistolTembakan.jpg
Dua anggota polis maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan seorang lelaki ketika menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand pada Ahad. - Foto hiasan
Advertisement

NARATHIWAT: Dua anggota polis maut manakala empat lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan dengan seorang lelaki ketika menjalankan operasi membanteras pengedaran dadah di Tak Bai, Narathiwat, selatan Thailand pada Ahad.

Ketua Polis Tak Bai Kol. Polis Pakkawat Wansanuk berkata anggota polis menjalankan operasi di kawasan berkenaan selepas menerima maklumat risikan mengenai kegiatan pengedaran dadah.

Beliau berkata seorang lelaki tiba-tiba melepaskan tembakan ke arah anggota polis yang sedang menjalankan operasi itu pada 11.48 pagi waktu tempatan.

“Insiden berbalas tembakan berlaku antara anggota polis dengan lelaki itu.

Dua anggota polis yang terkena tembakan di dada dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi cedera," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke arah ladang kelapa sawit sejurus selepas melepaskan tembakan.

"Polis telah mengepung kawasan kampung itu bagi memburu suspek yang dipercayai masih bersembunyi di kawasan ladang berhampiran," katanya.

Pakkawat berkata anggota polis yang cedera kini menerima rawatan di Hospital Tak Bai.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement