TAPANULI SELATAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Kelurahan Wek I, Kecamatan Batangtoru, Sumatera Utara ditamatkan selepas jasad mangsa kedua ditemukan pada pagi Rabu.
Kepala Pelaksana Badan Penanggulangan Bencana Daerah (BPBD) Tapanuli Selatan, Zulkarnaen Siregar berkata jasad Sariman Gulo, 22, ditemukan oleh pasukan SAR gabungan pada jam 9.05 pagi.
Menurutnya, mangsa ditemui tertimbus tidak jauh dari lokasi penemuan ibunya, Yasine Gulo, 43, yang dijumpai sehari sebelumnya.
Tragedi itu berlaku kira-kira jam 5.30 petang Isnin susulan hujan lebat berterusan yang melanda wilayah Batangtoru.
Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa keluar ke belakang rumah untuk membersihkan saluran parit yang tersumbat bagi mengelakkan air melimpah ke dalam kediaman mereka.
Bagaimanapun, tebing tanah berhampiran runtuh secara tiba-tiba sebelum menghanyutkan kedua-dua mangsa.
Bupati Tapanuli Selatan, Gus Irawan Pasaribu, bersama Setiausaha Daerah, Sofyan Adil Siregar, turut melawat lokasi kejadian serta menziarahi keluarga mangsa untuk menyampaikan ucapan takziah dan bantuan kecemasan.
Beliau berkata operasi menyelamat berdepan cabaran lokasi yang sempit dan sukar diakses, menyebabkan penggunaan jentera terhad kepada ekskavator bersaiz kecil.