BANGKOK: Dua individu cedera dalam insiden tembakan di sebuah pejabat kerajaan tempatan di pinggir ibu negara Thailand pada Isnin.
Komander Polis Nonthaburi, Mejar Jeneral Dejrapee Kongdee, berkata suspek yang merupakan seorang bekas ahli parlimen didakwa melepaskan tembakan ke arah seorang pegawai kanan wilayah dan pemandunya.
"Terdapat dua mangsa yang cedera dan mereka telah dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut," katanya.
Suspek dilaporkan berjaya ditahan pihak berkuasa sejurus selepas kejadian.
Insiden terbaharu itu berlaku ketika Thailand masih terkesan dengan serangan oleh seorang remaja lelaki berusia 14 tahun pada Jumaat lalu, yang terlebih dahulu menyerang kediamannya sebelum melepaskan tembakan di Sekolah Debsirin Nonthaburi.
Tragedi hitam itu mengorbankan sembilan nyawa, termasuk penembak itu sendiri, selain mencederakan lebih 20 individu dalam insiden tembakan rambang paling dahsyat di negara berkenaan dalam tempoh hampir empat tahun.
Ketika sesi persekolahan bermula semula pada Isnin, beberapa sekolah mula memasang alat pengesan logam dan memperketat langkah keselamatan.
Di Debsirin School di Bangkok, pihak pengurusan turut meningkatkan pemeriksaan keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga susulan tragedi itu.
Kejadian tembakan di wilayah sama itu mencetuskan semula perdebatan mengenai kawalan senjata api.
Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menegaskan semula hasrat kerajaan untuk memperketatkan kawalan pemilikan, penggunaan serta membawa senjata api di tempat awam.