Skip to main content

Dunia

Dua hari berturut-turut tanpa serangan AS ke atas Iran selepas dua minggu pengeboman, pengantara giatkan diplomasi

KONFLIK ASIA BARAT
Tiada sebarang letupan atau amaran serangan udara direkodkan di seluruh Iran sehingga awal pagi Ahad.
Advertisement

ISTANBUL: Iran melepasi malam kedua berturut-turut tanpa sebarang laporan serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) selepas dua minggu berdepan pengeboman berterusan, sementara Pakistan dan Qatar menggiatkan usaha perantaraan bagi memastikan ketegangan antara Washington dan Tehran, reda lapor Anadolu Ajansi.

Tiada sebarang letupan atau amaran serangan udara direkodkan di seluruh Iran sehingga awal pagi Ahad, menurut pemantauan  Anadolu Ajansi berhubung perkembangan itu selepas malam sebelumnya turut berlalu tanpa serangan yang diumumkan.

Penghentian seketika itu menyusul selepas dua minggu serangan AS yang menyasarkan infrastruktur ketenteraan, sistem pengawasan pesisir pantai, kemudahan peluru berpandu dan dron, aset tentera laut serta tapak logistik, menurut Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM).

Jeda terbaharu itu berlaku ketika pihak perantara, Pakistan dan Qatar, menggiatkan pertukaran mesej antara AS dan Iran selepas kedua-dua pihak yang berkonflik menyampaikan maklum balas masing-masing berhubung formula bersama untuk menamatkan perang yang berlarutan selama berbulan-bulan, kata sumber Kerajaan Pakistan kepada Anadolu pada Ahad.

Pada Khamis, Kementerian Kesihatan Iran memaklumkan bahawa 57 orang terkorban manakala 629 yang lain cedera dalam gelombang serangan terbaharu AS.

Awal minggu ini, Islamabad dan Doha mengemukakan cadangan formula penurunan ketegangan bersama, mendesak AS dan Iran kembali ke kedudukan asal sebelum 9 Julai "sebagai langkah pertama" bagi memulakan semula rundingan yang terhenti untuk menamatkan konflik itu secara kekal, menurut pegawai yang arif berhubung perkara berkenaan.

Iran mengesahkan ia telah menerima cadangan daripada pihak perantara yang bertujuan meredakan ketegangan dan sedang mengkaji cadangan terbabit, sambil menegaskan komitmennya terhadap jalan diplomasi di tengah-tengah berlakunya serangan balas.

Pada Jun, Washington dan Tehran menandatangani memorandum persefahaman yang merangkumi gencatan senjata susulan usaha perantaraan  Qatar dan Pakistan, sekali gus membuka jalan kepada rundingan perjanjian akhir bagi menamatkan konflik itu.

Bagaimanapun, Presiden AS Donald Trump mengisytiharkan gencatan senjata itu berakhir pada 8 Julai berikutan peningkatan semula konflik ketenteraan.

Washington menuntut Tehran menghentikan serangan ke atas kapal dagang dan menjamin kebebasan pelayaran di Selat Hormuz, manakala Iran bertegas bahawa laluan kapal perlu dikawal melalui mekanisme yang ditadbirnya di laluan air strategik sepanjang pesisir pantainya itu.

Pada Sabtu, Trump mengarahkan pihak ketenteraan AS untuk tidak melancarkan serangan baharu ke atas Iran, sekali gus menamatkan serangan harian yang berlarutan hampir dua minggu, lapor Axios yang memetik sumber yang mempunyai maklumat berhubung keputusan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement