Malang buat dua budak perempuan apabila kaki mereka tersepit di tangga bergerak sebuah pusat membeli-belah di bandar Guyuan, China.

Sebaik sahaja mereka melangkah ke tangga bergerak tersebut, salah satu panel tertanggal.

Kedua-dua kanak-kanak terjatuh dan kaki mereka tersepit.

Dalam video yang menjadi tular di media sosial, seorang wanita kelihatan bergegas untuk membantu dua budak perempuan malang tersebut.

Wanita yang berada bersama mereka berjaya menarik keluar kaki salah seorang daripada kanak-kanak itu.

Namun, kaki kanan seorang lagi kanak-kanak terus tersepit ketika tangga tersebut terus bergerak.

Wanita berkenaan meraung dan meminta bantuan orang ramai.

Tangga bergerak itu hanya berhenti selepas seorang lelaki menekan butang kecemasan.

Menurut agensi berita CGTN, pasukan bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan ia berjaya menyelamatkan kanak-kanak yang kaki kanannya tersepit.

Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital, namun keadaannya tidak diketahui. -Agensi