SINGAPURA: Dua penduduk Singapura yang baru-baru ini menaiki kapal persiaran MV Hondius didapati negatif hantavirus, menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA).
Dalam satu kenyataan, agensi itu memaklumkan yang Makmal Kesihatan Awam Nasional telah menjalankan ujian menggunakan beberapa sampel yang diambil daripada individu terbabit dan mengesahkan hantavirus termasuk virus Andes tidak dikesan.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, kedua-dua individu itu akan dikuarantin selama 30 hari dari tarikh pendedahan terakhir dan ujian akan dijalankan sekali lagi sebelum mereka dibebaskan daripada kuarantin.
“Mereka kemudian akan dipantau melalui panggilan telefon bagi baki tempoh pemantauan selama 45 hari dari tarikh pendedahan terakhir, iaitu tempoh inkubasi maksimum bagi pendedahan hantavirus,” menurut CDA pada Jumaat.
Menurut agensi itu, risiko penularan hantavirus kepada orang awam di Singapura kekal rendah.
“CDA sedang memantau rapat situasi ini dan bersedia mempertingkat langkah kesihatan awam sekiranya maklumat baharu menunjukkan peningkatan risiko kesihatan awam kepada Singapura,” menurut kenyataan itu lagi.
Pada Khamis, CDA memaklumkan, dua lelaki iaitu seorang warga Singapura berusia 67 tahun dan seorang pemastautin tetap berusia 65 tahun sedang diasingkan di Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) untuk menjalani ujian hantavirus.
-- BERNAMA