Skip to main content

Dunia

Dua pengebom Kuil Erawan dihukum mati

Thai court sentences two Uyghur men to death for 2015 Bangkok bombing. Screenshot Video REUTERS
Mahkamah menegaskan perbuatan kedua-dua tertuduh melibatkan kesalahan serius dan tiada asas untuk meringankan hukuman maksimum. -Gambar Reuters

BANGKOK: Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan menjatuhkan hukuman mati ke atas dua lelaki etnik Uyghur dari wilayah Xinjiang, China, selepas didapati bersalah melancarkan serangan bom di Kuil Erawan pada Ogos 2015 yang mengorbankan 20 nyawa.

Keputusan panel empat hakim itu mengakhiri perbicaraan kes berprofil tinggi yang berlarutan lebih 10 tahun, tertangguh akibat pelbagai faktor termasuk isu berkaitan jurubahasa, lapor Bangkok Post.

Dua tertuduh, Yusufu Mieraili dan Bilal Mohammed, turut dikenali sebagai Adem Karadag, disabitkan kesalahan membunuh dengan niat serta cubaan membunuh.

Mahkamah menegaskan perbuatan kedua-dua tertuduh melibatkan kesalahan serius dan tiada asas untuk meringankan hukuman maksimum.

Serangan pada 17 Ogos 2015 di persimpangan Ratchaprasong itu memusnahkan kawasan kuil Hindu popular berkenaan, mengorbankan 20 orang termasuk pelancong asing serta mencederakan lebih 120 individu.

Penganalisis keselamatan sebelum ini mengaitkan serangan itu dengan kemungkinan tindakan balas terhadap penghantaran pulang pelarian Uyghur oleh Thailand ke China, walaupun tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Kedua-dua tertuduh sebelum ini menafikan pertuduhan.

Peguam bela memaklumkan rayuan akan difailkan dalam tempoh sebulan.

Seorang lagi suspek wanita warga tempatan sebelum ini telah dibebaskan oleh mahkamah kerana kekurangan bukti.

 

Must Watch Video

Advertisement