SINGAPURA: Dua warga Singapura dilaporkan hilang selepas gempa bumi dengan magnitud 7.2 melanda Hualien, Taiwan pada Rabu, lapor media tempatan.

The Straits Times melaporkan Kementerian Luar (MFA) dalam satu kenyataan berkata Pejabat Perdagangan Singapura di Taipei berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan mengenai perkara itu.

MFA berkata pegawai republik itu telah menghubungi waris terdekat dan menghulurkan bantuan konsular serta memantau rapat situasi berkenaan.

Sementara itu, dua daripada lapan rakyat Singapura yang terdahulu diselamatkan pihak berkuasa Taiwan mengalami kecederaan ringan dan diberi bantuan diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan, lapor akhbar itu.

MFA juga menghulurkan bantuan konsular kepada mereka.

Menurut Central News Agency (CNA) Taiwan setakat 3 petang Jumaat, 13 lagi masih hilang termasuk dua warga Singapura.

Gempa bumi itu setakat ini mengakibatkan 12 kematian dan lebih 1,000 lagi cedera.

-- BERNAMA