Skip to main content
Advertisement

Dunia

Duduk di lantai di dalam khemah, anak Gaza kembali ke sekolah

Palestinian students attend their first day of the new school year inside a tent at a school, in Khan Younis, in the southern Gaza Strip, September 19, 2026. REUTERS/Ramadan Abed
Kanak-kanak Palestin hadir pada hari pertama persekolahan di dalam khemah di sebuah sekolah sementara di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, 19 Sept 2026. REUTERS
Advertisement

GENTING GAZA: Ratusan ribu murid dan pelajar di Genting Gaza kembali mengikuti pembelajaran secara bersemuka pada Sabtu lalu buat kali pertama dalam tempoh hampir tiga tahun.

Namun, mereka terpaksa belajar di bangunan sekolah yang rosak, premis sementara dan khemah, selain berdepan kesukaran mendapatkan pakaian seragam, buku nota serta alat tulis yang tidak lagi mampu dibeli sesetengah keluarga.

Menurut Pengarah Pendidikan Khan Yunis Timur, Ibrahim Ramadan, pembukaan semula sekolah itu menandakan langkah penting dalam usaha memulihkan semula sistem pendidikan di Gaza selepas terjejas teruk akibat konflik yang telah meragut nyawa kira-kira 22,000 pelajar dan lebih 770 petugas pendidikan termasuk 532 guru.

“Sudah tiga tahun saya tidak pergi ke sekolah. Akhirnya kami dapat memulakan tahun persekolahan. Ia tahun yang penuh kegembiraan,” kata Moayed Abu Mustafa.

Menurutnya, dia tetap bertekad untuk belajar walaupun terpaksa duduk di atas lantai di dalam khemah yang tidak mempunyai pengudaraan. Dia juga tidak mempunyai kasut yang sempurna, buku nota dan pen dan kehilangan rakan-rakannya akibat kempen pengeboman rejim Zionis.

Image
Palestinian students attend their first day of the new school year at an UNRWA school, in Nuseirat, in the central Gaza Strip, September 19, 2026. REUTERS/Mahmoud Issa
Kanak-kanak Palestin hadir pada hari pertama persekolahan di sebuah sekolah UNRWA di Nuseirat, tengah Semenanjung Gaza, 19 Sept 2026. REUTERS

Penjual alat tulis, Khaled Aliyan, 30, pula berkata, sekatan Israel terhadap kemasukan barangan menyebabkan bekalan semakin berkurangan, sekali gus mendorong kenaikan harga.

“Buku nota yang sebelum ini hanya berharga tiga shekel (RM4), kini dijual pada harga 15 shekel (RM20). Semua barangan alat tulis semakin mahal dan kebanyakan keluarga tidak lagi mampu menyediakan keperluan asas persekolahan untuk anak-anak mereka,” tambahnya.

Walaupun seluruh wilayah binasa teruk, Kementerian Pendidikan dengan sokongan organisasi antarabangsa dan tempatan tetap meneruskan sesi akademik 2026-2027 dengan menubuhkan puluhan sekolah sementara menggunakan khemah, kanvas, kepingan logam dan kayu.

Image
A Palestinian teacher conducts a lesson for displaced Palestinian students, including Samar Abu Salmi, 15, inside a tent classroom in Khan Younis, in the southern Gaza Strip, September 20, 2026. REUTERS/Ramadan Abed
Guru mengendalikan sesi pembelajaran untuk murid-murid Palestin yang hilang tempat tinggal di dalam bilik darjah di sebuah khemah di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, 20 Sept 2026. REUTERS

Sebahagiannya didirikan di atas tanah, manakala yang lain hanya dilengkapi beberapa tilam dan sebuah papan hitam sebagai ruang pembelajaran hingga menyebabkan murid terpaksa berhimpit-himpit.

"Dulu kami berasa gembira untuk ke sekolah tetapi sekarang keadaan sudah berbeza kerana kami takut dengan peluru sesat dan serangan secara tiba-tiba,” menurut Yamen Abu Samra, 14.

Sekurang-kurangnya 540,000 murid dan pelajar dijangka mengikuti kelas secara bersemuka pada 2026 di sekolah swasta, pusat pembelajaran sementara dan kemudahan pendidikan dengan sokongan UNICEF.

Situasi di enklaf itu masih tidak menentu memandangkan Israel masih menguasai lebih 60 peratus wilayah Gaza walaupun gencatan senjata rapuh yang dicapai pada 2025 gagal menamatkan konflik sepenuhnya. - Agensi

Info:

> Tabung Kecemasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memaklumkan 98 peratus sekolah di Gaza sama ada musnah atau mengalami kerosakan akibat perang.

> Kira-kira 660,000 murid dan pelajar terjejas akibat terputus akses kepada pembelajaran secara bersemuka dan pendidikan secara berkala.

- Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement