AYER KEROH: Kemalangan jalan raya yang dialami hampir 17 tahun lalu tidak menghalang seorang anggota polis orang kurang upaya (OKU) menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Sarjan Siti Nur Maslinda Nor, 47, yang bertugas di Cawangan Pelesenan, Jabatan Pengurusan, antara anggota polis yang hadir mengundi di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, pada Selasa.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku pada 2008 ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja sewaktu bertugas di Perak.
Siti Nur Maslinda yang bertukar ke Melaka pada 2020 berkata, ini merupakan pengalaman kali kedua baginya melalui proses pengundian sempena PRN di negeri berkenaan.
Mengulas pengalaman mengundi kali ini, Siti Nur Maslinda melahirkan rasa puas hati terhadap kelancaran proses pengundian, termasuk kemudahan laluan yang disediakan.
"Alhamdulillah, hari ini berjalan lancar. Saya pun rasa puas hati sebab laluan untuk mengundi pun lancar," katanya ketika ditemui Astro AWANI selepas selesai mengundi.
Dalam masa sama, Siti Nur Maslinda berharap orang ramai yang akan keluar mengundi pada 14 November ini dapat memberikan kerjasama kepada petugas bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.
Seramai 2,445 anggota polis dan 9,769 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) layak mengundi awal di seluruh Melaka pada Selasa, termasuk 817 pengundi di IPK Melaka.