SUNGAI UDANG: Belum pun seminggu selesai menjalani tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiga, Nurul Atikah Syuhada Zainal tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.
Wanita berusia 31 tahun itu berkata, pengalaman berkenaan bukan pertama kali dilaluinya apabila situasi sama turut berlaku ketika PRN Melaka pada 2021, selepas dia melahirkan anak keduanya.
Kali, pengalaman itu berulang apabila dia sekali lagi hadir ke pusat pengundian awal, kali ini bersama bayi lelakinya yang baru berusia 49 hari.
Menurutnya, keadaan itu tidak menghalangnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi, malah dia memilih untuk hadir seawal pagi bagi mengelakkan anaknya terdedah kepada cuaca panas.
“Sebab sudah jadi tanggungjawab (mengundi) kan, jadi apa pun keadaan saya tetap kena datang mengundi lah.
“Anak kedua sebelum ini pun pada PRN 2021 saya mengundi awal lepas beberapa hari habis pantang bersalin dan saya pilih datang pagi-pagi supaya anak saya tak panas sangat lah,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1, Kem Terendak, di sini, pagi ini.
Isteri kepada anggota tentera 10 Briged Para itu berkata, dia turut mengambil kira keadaan anak ketiganya yang kurang sihat akibat demam ketika membuat keputusan untuk hadir mengundi pada awal pagi.
Sementara itu, pengalaman sama turut dikongsikan seorang lagi isteri petugas tentera, Nursyafiqah Umat, 25, yang hadir dengan berstoking dan berkain batik.
Ibu kepada dua itu baharu sahaja melahirkan anak bongsunya pertengahan bulan lalu.
“Ini pertama kali saya mengundi dalam kem tentera, sebelum ini saya mengundi di pusat pengundian biasa.
“Saya masih lagi dalam tempoh berpantang hari ke 23, tetapi saya tetap datang jugalah mengundi sebab ini tanggungjawab kan,” katanya kepada Astro AWANI.
Sementara itu, sebanyak 31 pusat mengundi awal dibuka serentak pada pukul 8 pagi bagi PRN Melaka ke-16, hari ini, membabitkan seramai 12,531 anggota pasukan keselamatan serta pasangan masing-masing.
Daripada jumlah itu, seramai 9,769 terdiri daripada anggota tentera bersama pasangan, manakala 2,762 lagi merupakan anggota polis yang layak mengundi awal berdasarkan statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).