Perancis memimpin majlis bertafakur selama seminit di seluruh dunia pada Isnin bagi memperingati mangsa serangan di Paris pada Jumaat.

Pemimpin dunia, para diplomat dan ahli sukan antara yang turut serta bersama warga Perancis di seluruh dunia bersama-sama memperingati serangan itu yang meragut 129 nyawa dan mencederakan ratusan lain, serangan paling ganas yang pernah berlaku di bumi Perancis.

Di Paris, Presiden Francois Hollande dan anggota kabinetnya yang berpakaian serba hitam, bertafakur di Sorbonne University, dengan disertai penuntut universiti itu.

Di Place de la Republique, ratusan berdiri dan tidak bergerak bagi memperingati mangsa.

Selain itu Dewan muzik Bataclan, kawasan yang menyaksikan pertumpahan darah paling buruk, turut menjadi tumpuan.

BACA: Apa yang diketahui setakat ini

FOTO: Serangan bersiri di Paris, sekurang-kurangnya 129 maut

Sementara itu tujuh pemimpin Kesatuan Eropah (EU) yang menghadiri Mesyuarat Kumpulan 20 (G20) di Turki -- David Cameron, Angela Merkel, Matteo Renzi, Mariano Rajoy, Laurent Fabius, Donald Tusk and Jean-Claude Juncker turut bertafakur sejenak di pintu masuk bangunan mesyuarat.

Di New York, ratusan berhimpun di pusat peringatan 9/11 Memorial dengan memegang bendera Perancis dan bunga mawar sebelum bertafakur sejenak.

Turut menjadi tumpuan warga Amerika Syarikat, monument "Survivor Tree". Lagu kebangsaan Perancis turut berkumandang.

Tidak terkecuali, mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyaksikan wakil-wakil 15 negara anggota tunduk sejenak memperingati mangsa yang membabitkan warga dari 19 negara.

Buat pasukan bola sepak England yang akan bertemu Perancis dalam satu perlawanan persahabatan hari ini, mereka menghentikan latihan sejenak bagi menghormati mangsa serangan di Paris.

Turut menjadi tumpuan lokasi popular seperti St Paul's Cathedral dan Trafalgar Square.

Bendera Britain turut dikibarkan separuh tiang.