Skip to main content

Dunia

Ed Sheeran sebak, akui kesilapan susulan kontroversi pengguguran Macklemore daripada jelajah konsert

[TB]_Ed Sheeran PR Free Palestine_X @RyanRozbiani
Penyanyi lagu hit "Shape of You" itu dilihat sebak, malah beberapa laporan media menyatakan beliau mengalirkan air mata ketika menyampaikan permohonan maaf dan mengakui telah melakukan kesilapan dalam mengendalikan kontroversi berkenaan. -Foto X @RyanRozbiani
Advertisement

PHILADELPHIA: Superstar pop antarabangsa, Ed Sheeran, dilihat sebak ketika menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada peminat susulan kontroversi pengguguran penyanyi rap Macklemore daripada siri jelajah Loop Tour, yang mencetuskan pengunduran beberapa artis pembuka tirai sebagai tanda solidariti.

Kontroversi itu mencetuskan reaksi dalam industri muzik apabila beberapa artis pembuka tirai, termasuk Finneas O'Connell, Lukas Graham, Aaron Rowe dan kumpulan Beoga, menarik diri daripada jelajah itu selepas Macklemore digugurkan daripada baki persembahan di Amerika Syarikat.

Susulan perkembangan itu, konsert di Lincoln Financial Field, Philadelphia diteruskan tanpa artis pembuka tirai yang sebelum ini dijadualkan membuat persembahan, menyebabkan waktu permulaan konsert diubah berbanding jadual asal.

Kemelut berkenaan bermula selepas Macklemore digugurkan daripada baki siri jelajah di Amerika Syarikat susulan kenyataan pro-Palestin yang disuarakannya ketika membuat persembahan di MetLife Stadium, New Jersey, awal bulan ini.

Keputusan itu dibuat selepas pihak penganjur menerima bantahan daripada beberapa venue dan pihak berkepentingan yang terlibat dalam siri jelajah berkenaan.

Sebelum memulakan persembahannya, Sheeran tampil memberikan penjelasan kepada puluhan ribu peminat.

Penyanyi lagu hit Shape of You itu dilihat sebak, malah beberapa laporan media menyatakan beliau mengalirkan air mata ketika menyampaikan permohonan maaf dan mengakui telah melakukan kesilapan dalam mengendalikan kontroversi berkenaan.

 

 

Beliau berkata terdapat beberapa keputusan sukar yang terpaksa dibuat sepanjang minggu lalu, sambil menegaskan bahawa konsertnya sentiasa menjadi ruang yang selamat untuk semua peminat tanpa mengira latar belakang atau pandangan mereka.

Sheeran turut menyuarakan pandangan mengenai konflik di Asia Barat dengan berkata keadaan di Gaza merupakan satu malapetaka kemanusiaan yang tidak boleh diterima, selain menegaskan kepentingan kebebasan bersuara dalam kalangan penggiat seni.

Sementara itu, sekumpulan aktivis pro-Palestin berhimpun di luar pekarangan stadium bagi menyuarakan bantahan terhadap keputusan menggugurkan Macklemore daripada jelajah berkenaan.

Polis Philadelphia dilaporkan memantau keadaan bagi memastikan keselamatan orang ramai dan peminat yang hadir ke konsert tersebut.

Must Watch Video

Advertisement