DUNIA
Ekonomi digital Singapura sumbang 18.6 peratus kepada KDNK pada 2024

Tenaga kerja teknologi Singapura meningkat kepada 214,000 pada 2024 atau 5.3 peratus daripada jumlah pekerjaan daripada 208,300 pada 2023. - Gambar fail/Bernama
SINGAPURA: Ekonomi digital Singapura berkembang sebanyak S$12 bilion, meningkat kepada S$128.1 bilion pada 2024, menurut Laporan Ekonomi Digital Singapura (SGDE) yang diterbitkan pada Isnin.
Ia menyumbang 18.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) republik itu, meningkat daripada 18 peratus pada 2023 dan 14.9 peratus pada 2019.
"Ini menunjukkan bahawa pertumbuhan digital Singapura bukan sahaja didorong oleh syarikat teknolog tetapi oleh pendigitalan merentas semua industri," katanya.
Sementara itu, tenaga kerja teknologi Singapura meningkat kepada 214,000 pada 2024 atau 5.3 peratus daripada jumlah pekerjaan daripada 208,300 pada 2023.Gaji bulanan median untuk penduduk dalam peranan teknologi tahun lalu berjumlah S$7,950, jauh lebih tinggi daripada median upah penduduk secara keseluruhan berjumlah S$4,860.
Peranan pekerjaan yang berkaitan dengan kecerdasan buatan (AI) dan data serta keselamatan siber adalah antara pekerjaan teknologi paling pesat berkembang pada 2024.
Penggunaan AI oleh bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan PKS juga meningkat dengan ketara pada tahun tersebut.
Dalam kalangan PKS, penggunaan AI lebih daripada tiga kali ganda, melonjak kepada 14.5 peratus daripada 4.2 peratus, didorong kebanyakannya oleh penggunaan peralatan AI generatif siap guna manakala Penggunaan AI dalam kalangan bukan PKS menokok kepada 62.5 peratus pada 2024 daripada 44 peratus pada 2023.
Menurut laporan itu, perusahaan kini semakin memusatkan operasi mereka kepada pendigitalan. Sebanyak 95.1 peratus PKS telah menggunakan sekurang-kurangnya satu daripada enam teras digital yang diukur; keselamatan siber, pengkomputeran awan, pembayaran elektronik, perdagangan elektronik, analisis data dan AI.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami