NEW DELHI: Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif telah menangguhkan lawatan beliau ke Rusia berikutan situasi keselamatan yang tidak menentu di Asia Barat.
Shehbaz kini memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap perkembangan situasi serantau selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Advertisement
Pembunuhan Khamenei telah mencetuskan kemarahan di Iran, yang merancang untuk memperhebatkan serangan balas terhadap sasaran Israel dan Amerika, serta negara-negara yang menempatkan pangkalan tentera AS.
Beberapa siri protes menyokong Iran tercetus di beberapa tempat di Pakistan dan India pada Ahad susulan berita kematian Khamenei.
"Kerajaan dan rakyat Pakistan bersama-sama rakyat Iran dalam waktu duka dan kesedihan ini, serta menyampaikan ucapan takziah yang paling tulus atas pemergian Yang Mulia Ayatollah Seyyed Ali Khamenei," kata Shehbaz menerusi hantaran di platform X.
"Pakistan juga menzahirkan kebimbangan terhadap pelanggaran norma undang-undang antarabangsa. Ia merupakan konvensyen lama bahawa Ketua Negara atau Kerajaan tidak seharusnya dijadikan sasaran," katanya.
Di bandar raya Karachi, sembilan orang maut selepas penunjuk perasaan menyerbu bangunan konsulat Amerika di Jalan Mai Kolachi, manakala demonstrasi turut diadakan di Islamabad dan Lahore.
Pejabat perwakilan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Skardu, dalam Wilayah Gilgit-Baltistan, turut dibakar oleh penunjuk perasaan Syiah.
Di seberang sempadan, protes turut diadakan di Srinagar dan Kargil.
Pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri yang dipetik dalam laporan media Pakistan berkata, Shehbaz membatalkan lawatan yang dijadualkan pada 3 hingga 5 Mac itu disebabkan oleh situasi luar biasa berkenaan.
Shehbaz serta Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Ishaq Dar telah mengadakan beberapa perbualan telefon dengan pegawai-pegawai Asia Barat sejak krisis itu meletus pada Sabtu.
Sementara itu, perkhidmatan pengangkutan serantau turut terjejas teruk.
Sebanyak 350 penerbangan yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan India telah dibatalkan pada Ahad berikutan sekatan ruang udara di Asia Barat, menurut kenyataan Kementerian Penerbangan Awam India.
"Kementerian Penerbangan Awam sedang menjalankan penyelarasan dengan syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pihak berkepentingan lain untuk memantau situasi secara proaktif serta memudahkan sokongan penumpang yang diperlukan," katanya.
Biman Bangladesh Airlines pula menyambung semula perkhidmatan ke Asia Barat pada Ahad, kecuali bagi laluan Doha, Dubai dan Abu Dhabi, menurut laporan agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.
-- BERNAMA