Gerakan ke arah membenarkan penggunaan ganja di Malaysia kerap mengatakan tumbuhan ini mempunyai pelbagai kegunaan antaranya untuk merawat kemurungan, mengurangkan kesan kemoterapi dan ada juga yang percaya ia boleh merawat kanser.

Kajian terkini daripada Charles Darwin University (CDU) dan RMIT dari Australia kini mengatakan ekstrak ganja cannabis sativa didapati boleh memperlahankan pertumbuhan sel melanoma (kanser kulit) sebelum  mengakibatkan kematian sel kanser.

Ekstrak yang diberi nama PHEC-66 diuji di makmal pada sel melanoma manusia. Ia menghalang pembelahan serta pertumbuhan sel kanser melanoma yang perlu untuk ia berkembang. Ini seterunya menyebabkan sel kanser menjalani proses apoptosis iaitu kematian sel secara berperingkat.

Penyelidik kini ingin membangunkan teknik untuk menyampaikan PHEC-66 kepada sel melanoma pada tubuh manusia sebelum seterusnya memulakan ujian klinikal bagi melihat keberkesanannya.

Pada waktu yang sama penyelidik percaya PHEC-66 mempunyai potensi sebagai ejen anti kanser untuk rawatan pelbagai jenis kanser lain. - Sinar Harian