KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan terus menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pendidikan dalam usaha memberi suasana dan nafas baharu kepada prasarana sekolah di negeri itu, sekali gus ke arah sifar sekolah daif.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata hubungan baik Sabah dengan kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang prihatin dengan keperluan rakyat, diyakini mampu menoktahkan masalah yang sudah lama membelenggu sektor pendidikan di negeri itu.

Exco Pendidikan Sabah itu juga berkata kerjasama bersepadu termasuk melibatkan Jabatan Pendidikan Sabah adalah amat penting bagi memastikan peruntukan penyelenggaraan dan penggantian bangunan sekolah-sekolah daif dapat terus diberi keutamaan di Sabah sama ada melalui pelan jangka pendek atau panjang.

"Saya yakin kita dapat mempercepat keperluan prasarana diperlukan dalam pembangunan pendidikan Sabah, lebih-lebih lagi Jabatan Pendidikan Sabah telah mengambil inisiatif termasuk membuat hala tuju pendidikan negeri dengan satu daripada fokus memantau serta melaksanakan prasarana sekolah untuk pelajar di negeri ini.

"Fokus kita sekarang ini untuk menentukan projek yang sedang berjalan tidak tergendala dan boleh disiapkan dengan cepat mengikut sasaran atau tempoh ditetapkan agar pembangunannya boleh dinikmati setiap pelajar di negeri ini," katanya kepada Bernama.

Mohd Arifin sekali lagi menegaskan kerajaan Sabah sentiasa memperjuangkan isu-isu melibatkan usaha menaik taraf kemudahan sekolah di negeri itu seiring komitmen Perjanjian Malaysia 1963 bagi memastikan setiap aspirasi disuarakan mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan Persekutuan.

Selain itu, jawatankuasa khas pembangunan Sabah turut ditubuhkan antara lain berperanan memastikan kemajuan kerja-kerja pembangunan, penyelenggaraan, naik taraf termasuk membabitkan sekolah daif disediakan kerajaan Persekutuan berjalan mengikut jadual ditetapkan, katanya.

Dalam usaha ke arah sifar sekolah daif di Sabah, Mohd Arifin berkata pelan jangka pendek digariskan antara lain melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan sekolah skala empat, lima dan enam berdasarkan peruntukan dasar sedia ada setiap tahun untuk memastikan keadaan daif tidak menjadi lebih teruk, malah dapat memanjangkan tempoh hayat bangunan.

Pelan jangka masa panjang pula katanya, memastikan semua sekolah daif dalam skala tujuh diganti dengan bangunan baharu.

Justeru, Mohd Arifin berkata kerajaan Persektuan diharap dapat meluluskan semua permohonan projek dikemukakan bagi memastikan Sabah tidak ada lagi bangunan sekolah daif menjelang 2029 kelak.

"Infrastruktur sekolah yang daif menyebabkan pelajar tidak dapat menikmati pembelajaran dengan sempurna dan selesa. Oleh itu, kita berdepan cabaran untuk merapatkan jurang antara pengetahuan, kemahiran berbanding dengan keperluan industri.

"Jurang ini juga telah mewujudkan ketidakpadanan antara penawaran dan permintaan dalam pasaran pekerjaan," katanya sambil menambah, aspek pembangunan modal insan yang menjadi antara inti pati penting dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya sememangnya merangkumi usaha menaik taraf infrastruktur termasuk sekolah.

Kesungguhan kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan dalam memastikan isu pendidikan di Sabah termasuk mempertingkatkan kualiti pendidikan demi manfaat negeri itu dapat dilihat apabila sebanyak 218 daripada 338 projek pembinaan semula sekolah daif telah diselesaikan di negeri itu sehingga kini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam lawatan kerjanya ke Sabah pada 18 April lepas, selain menjelaskan sebanyak 60 projek pula sedang dalam proses pembinaan dan dijangka selesai tidak lama lagi, manakala baki 60 projek lagi dalam peringkat prabina.

-- BERNAMA