Skip to main content

Dunia

El Nino dijangka bawa cuaca ekstrem hingga 2027 - WMO

 Woodhead reservoir is visible amid a drought near Manchester, England, Thursday, Aug. 13, 2026. (AP Photo/Jon Super, File)
Fenomena iklim itu boleh mengubah corak taburan hujan dan suhu di seluruh dunia dengan ketara, sekali gus meningkatkan risiko kemarau, banjir dan cuaca panas ekstrem. - Gambar hiasan/AP
Advertisement

ASTANA: El Nino dijangka terus menguat dan mungkin menjadi sangat kuat dalam beberapa bulan akan datang, lapor Agensi Berita Qazinform memetik Pusat Pengeluaran Global Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO).

Fenomena iklim itu boleh mengubah corak taburan hujan dan suhu di seluruh dunia dengan ketara, sekali gus meningkatkan risiko kemarau, banjir dan cuaca panas ekstrem.

Menurut ramalan WMO, terdapat kebarangkalian hampir 100 peratus bahawa El Nino akan berterusan hingga Februari 2027.

Pertubuhan itu menegaskan bahawa ini merupakan kali pertama pakarnya menyatakan tahap keyakinan yang begitu tinggi terhadap ramalan El Nino.

El Nino dijangka mencapai kemuncak menjelang akhir 2026, walaupun kesannya terhadap iklim mungkin terus dirasai sepanjang tahun berikutnya.

Antara tanda utama El Nino semakin menguat ialah pemanasan luar biasa di bahagian tengah dan timur kawasan khatulistiwa Lautan Pasifik.

Dari Mei hingga Julai, suhu permukaan laut di rantau Nino 3.4 secara purata 1.5 darjah Celsius (°C) lebih tinggi daripada paras normal, dengan anomali mencecah 2°C pada Julai.

Menjelang pertengahan Ogos, bacaan mingguan meningkat kepada kira-kira 2.2°C hingga 2.6°C lebih tinggi daripada purata.

Suhu lebih tinggi turut direkodkan di bawah permukaan laut.

Di sesetengah kawasan, suhu air bawah permukaan melebihi purata lebih daripada 8°C.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata fenomena iklim itu semakin mencapai tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

“El Nino sedang menjadi semakin besar di depan mata kita. Sains tidak memberikan ruang untuk keraguan: planet ini sedang berada di wilayah yang belum pernah diterokai dan keadaan semakin panas,” katanya.

WMO bersama perkhidmatan meteorologi dan hidrologi kebangsaan sedang memperkukuh kesiapsiagaan serta usaha amaran awal.

Pada masa sama, pakar menegaskan bahawa El Nino yang sangat kuat tidak semestinya membawa kesan yang sama teruk kepada setiap negara.

Menurut ramalan WMO bagi tempoh September hingga November 2026, suhu berkemungkinan lebih tinggi daripada paras normal di hampir semua kawasan daratan.

Perubahan ketara dalam corak taburan hujan turut dijangka berlaku di banyak rantau.

Sebelum ini, Agensi Berita Qazinform melaporkan kejadian El Nino kuat telah berlaku lebih kerap sepanjang abad lalu berbanding milenium sebelumnya.

Satu kajian baharu mendapati turun naik suhu di timur Pasifik antara 1990 hingga 2010 adalah 36.5 peratus lebih besar berbanding sepanjang tempoh 1,000 tahun sebelum 1850.

-- BERNAMA-QAZINFORM

Must Watch Video

Advertisement