Skip to main content

Dunia

NEA Singapura keluarkan notis kepada 10 syarikat berhubung kemungkinan kaitan jerebu rentas sempadan

Singapura diselubungi jerebu sejak isu kebakaran hutan di Indonesia bermula beberapa bulan lalu, sekali gus meresahkan orang ramai mengenai kesulitan dalam menjalani urusan harian dan juga masalah kesihatan. - AP
Singapura diselubungi jerebu sejak isu kebakaran hutan di Indonesia bermula beberapa bulan lalu, sekali gus meresahkan orang ramai mengenai kesulitan dalam menjalani urusan harian dan juga masalah kesihatan. - AP

Advertisement

SINGAPURA: Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA) Singapura mengeluarkan notis kepada 10 syarikat berdaftar di Singapura yang menjalankan perniagaan minyak kelapa sawit dan perhutanan bagi mendapatkan maklumat mengenai kemungkinan kaitan mereka dengan kebakaran hutan di Indonesia serta pencemaran jerebu rentas sempadan.

Notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 10 Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura (THPA) itu menghendaki syarikat berkenaan memberikan butiran mengenai konsesi tanah mereka, hubungan korporat serta langkah yang diambil untuk mencegah atau memadam kebakaran sepanjang musim kering.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, NEA berkata 10 syarikat itu sama ada memiliki konsesi tanah di Indonesia atau mempunyai syarikat berkaitan yang memegang konsesi sedemikian.

“Kesemua 10 syarikat berdaftar di Singapura ini menjalankan perniagaan minyak sawit atau perhutanan dan memiliki konsesi tanah di Indonesia atau mempunyai syarikat berkaitan yang memegang konsesi tanah sedemikian,” menurut kenyataan itu.

Antara syarikat berkenaan ialah Asia Pulp & Paper Company Ltd, Bumitama Agri Ltd, Golden Agri International Pte Ltd, First Resources Ltd dan Wilmar International Ltd.

“NEA komited sepenuhnya untuk mengenal pasti dan memastikan semua syarikat tempatan atau asing yang menyebabkan atau menyumbang kepada jerebu rentas sempadan di Singapura dipertanggungjawabkan di bawah THPA,” menurut kenyataan itu.

Tindakan terbaharu itu menyusuli pengeluaran notis langkah pencegahan (PMN) oleh NEA kepada 10 syarikat di Indonesia berhubung dakwaan penglibatan mereka dalam kebakaran di Sumatera dan Kalimantan.

PMN itu menghendaki syarikat berkenaan mengerahkan anggota pemadam kebakaran untuk memadam kebakaran di tanah milik atau yang diduduki mereka serta mencegah api daripada merebak.

Kesemua syarikat berkenaan juga perlu menghentikan atau tidak melakukan aktiviti pembakaran serta mengemukakan pelan tindakan kepada NEA yang memperincikan langkah untuk memadam kebakaran dan mencegah kejadian itu daripada berulang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement