BILIONAIR Elon Musk, yang sebelum ini individu terkaya di dunia, memecah rekod dunia apabila pengasas Tesla dan pemilik Twitter itu menjadi manusia pertama dalam sejarah mengalami kerugian AS$165 bilion (RM719.4 bilion) daripada nilai kekayaan, demikian menurut Guinness World Records.

Menurut laman web itu, kerugian itu direkodkan hartawan itu dari November 2021 hingga Disember lalu. 

Laporan itu memberitahu, angka itu berdasarkan data daripada senarai Forbes, namun Guinness World Records menjangkakan jumlah itu lebih tinggi daripada itu.

Ini berikutan kejatuhan mendadak nilai sahamnya dalam syarikat kereta elektrik, Tesla tahun lalu.

Pengambilalihan Twitter bernilai AS$44 bilion (RM207.6 bilion) mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur kerana berpendapat, jutawan itu tidak memberi perhatian yang secukupnya kepada syarikat kereta elektrik.

Kerugian Musk sejak November 2021 melepasi rekod jutawan teknologi warga Korea-Jepun, Masayoshi Son yang kehilangan sekitar A$60 bilion (RM261.54 bilion) pada tahun 2000, sewaktu era kejatuhan laman sesawang Dotcom.

Pada 7 Disember lalu, Musk kehilangan seketika tempat teratas dalam senarai jutawan Forbes kepada Bernard Arnault, yang mana keluarganya memiliki syarikat fesyen mewah terkemuka dunia, LVMH.

Nilai saham Tesla menurun sekitar 65 peratus pada tahun lalu.

Syarikat itu hanya berjaya mengeluarkan 1.3 juta kenderaan, kurang daripada jangkaan awal.